Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keputusan sama ada bekas pengerusi Felda, Mohd Isa Samad akan disabitkan bersalah atau bebas daripada kes rasuah membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) akan diketahui pada 3 Feb depan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh keputusan berhubung sembilan pertuduhan rasuah terhadap tertuduh semasa prosiding di mahkamah terbuka hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujah lisan oleh pihak pembelaan dan pendakwaan hari ini.

Hari ini merupakan hari terakhir hujahan lisan bagi pihak pembelaan.

Pada 3 September lalu, pihak pembelaan menutup kes setelah memanggil enam saksi untuk memberikan keterangan.

Mohd Isa, 71, berdepan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi Muhammad Zahid Md Arip, bekas pegawai khas politik Mohd Isa, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Pada mulanya kes ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, namun dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pihak pembelaan diketuai oleh Sallehudin Saidin, manakala pasukan pendakwaan diketuai oleh DPP Afzainizam Abdul Aziz.

Lihat Komen
ADS