"Mat Rempit" akan ditukar menjadi "Mat Cemerlang"
Pelumba motosikal haram yang dikenali sebagai "Mat Rempit atau " Mat Motor" akan diberi nama baru yang lebih baik dan positif iaitu "Mat Cemerlang" dalam usaha "penjenamaan" semula mereka.
Pelumba motosikal haram yang dikenali sebagai "Mat Rempit atau " Mat Motor" akan diberi nama baru yang lebih baik dan positif iaitu "Mat Cemerlang" dalam usaha "penjenamaan" semula mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melancarkan penjemaan semula "Mat Rempit" dalam satu perhimpunan khas di Stadium Nasional Bukit Jalil November ini.
Pengerusi pergerakan Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim menjelaskan, penjenamaan semula "Mat Rempit" ini bertujuan mengubah peminat lumba haram ini menjadi kolompok yang berguna dan lebih baik.
"Kami sedang menimbang beberapa nama yang sesuai untuk kumpulan ini, umpamanya Mat Cemerlang," katanya.
"Kami mahu mencari halatuju yang jelas untuk mereka. Kita tidak boleh menghalang mereka berlumba tetapi kita boleh membantu mereka mencari jalan hidup yang betul,"tambahnya.
Abdul Azeez berkata, pelumba-pelumba motosikal haram ini tidak boleh dipandang sebagai ancaman kepada masyarakat sebaliknya orang ramai perlu memahami kehendak golongan muda ini.
Menurut laporan Bernama, dalam perhimpunan selama tiga hari bermula dari 12 November itu, beberapa pertandingan akan diadakan untuk "Mat Rempit" dengan menawarkan hadiah lumayan termasuk kereta Satria Neo dan motosikal.
Abdul Azeez berkata, ada beberapa perkara poisitif yang boleh dipelajari dari kumpulan "Mat Rempit" ini seperti semangat setiakawan mereka yang kuat hingga mampu menubuhkan kelab tidak berdaftar yang mempunyai keahilan lebih 5,000 orang.
"Kerana semangat setiakawan yang kuat ini, 30 Mat Rempit akan menyerang kita jika kita buat hal dengan salah seorang kawan mereka," tambah Aziz lagi.
Katanya, Putera Umno tidak mahu semangat setiakawan itu disalahgunakan tetapi mahu ia dijadikan alat untuk menjauhkan belia dari dadah dan menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran.
Menurut beliau, kumpulan "Mat Rempit" ini juga mempunyai kemahiran dan kepakaran tinggi dalam memandu motosikal dan membaikpulih enjin motosikal.
" Wakil syarikat motosikal Honda dan sebuah syarikat pengedar kereta amat kagum dengan kebolehan Mat Rempit ini. Mereka mampu menambah kelajuan motosikal hingga 180 kilometer sejam sedangkan jurutera syarikat berkenaan menghadapi masalah untuk menambah kelajuan hingga 120 kilometer sejam."
"Mat Rempit-Mat Rempit ini sebenarnya boleh menjadi aset negara yang amat berguna jika diberi peluang,"ujarnya.
Abdul Azeez berkata pada 26 Ogos ini beliau bersama Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akan "turun padang" untuk bertemu "Mat Rempit".

