Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KATA MP | Mampukah Umno kembali ke era presiden berintegriti?

KATA MP | Dua perkara dalam berita baru-baru ini menarik perhatian ramai.

Yang pertama, Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa yang mengatakan bahawa terdapat konspirasi untuk membatalkan dasar “No Anwar dan No DAP” yang dipegang oleh Umno dan BN.

Yang kedua, memetik pengerusi lembaga penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengatakan bahawa dasar dasar itu tidaklah terpahat kekal selamanya.

Sebelumnya, ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi telah menyatakan pandangan yang sama, bahawa slogan itu tidak semestinya sentiasa relevan memandangkan keadaan politik semasa yang berubah-ubah.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, mengatakan bahawa kerjasama antara kedua-dua parti yang bertentangan ini mungkin bukan idea buruk.

Pada forum yang dianjurkan Majlis Profesor Negara (MPN) semalam, Tengku Razaleigh juga mengatakan Umno mesti kembali berkuasa untuk menjaga keselamatan orang Melayu.

Namun, mampukah Umno kembali ke zaman awal penubuhannya di mana Presiden Umno terkenal dengan integriti dan kejujuran yang tidak dapat dipertikaikan?

Bapa Kemerdekaan Malaysia Tunku Abdul Rahman terpaksa menjual rumahnya di Pulau Pinang untuk membiayai Umno, sementara mantan Pengerusi Bank CIMB, Nazir Razak telah menceritakan bagaimana ayah mereka, Perdana Menteri kedua, Tun Razak, telah memberi syarahan kepada anak-anaknya mengenai integriti dan kejujuran apabila mereka meminta agar kolam renang dibina di Seri Taman, kediaman Perdana Menteri semasa itu.

Bagi Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, integriti dan kejujurannya menjadi legenda.

Umno kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 kerana telah mengkhianati prinsip-prinsip integriti dan kejujuran - sejak hari-hari di mana pemimpin Umno terpaksa menjual rumah sendiri untuk membiayai aktiviti Umno hingga era di mana para pemimpin Umno membina rumah-rumah mewah dengan keuntungan daripada penyalagunaan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat yang diberikan kepada mereka, menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi global.

Skandal 1MDB tidak akan pernah berlaku di bawah pengawasan Tunku Abdul Rahman, Tun Razak atau Tun Hussein Onn.

Inilah sebabnya dalam kenyataan bersama mereka baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu mengatakan bahawa mereka telah memberi mandat kepada Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim, untuk mendapatkan sokongan daripada kalangan ahli-ahli Parlimen kerajaan dengan syarat mereka bukanlah kleptokrat terutamanya  Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Kini, ada nama ketiga untuk ditambahkan selain dua nama ini.

Selain daripada persoalan sama ada Umno mampu untuk kembali kepada era penubuhannya, di mana para Presiden Umno dikenali dengan integriti dan kejujuran, terdapat satu masalah lagi di mana pemimpin Umno yang kleptokratik menjadi musuh terburuk orang Melayu.

Adakah Tengku Razaleigh akan bersetuju bahawa pemimpin Umno kleptokrat telah menjadi musuh terburuk orang Melayu?

Sudah berapa kali Tengku Razaleigh bersuara menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin kleptokrat Umno atas kepentingan peribadi kononnya untuk melindungi dan memajukan kepentingan dan hak orang Melayu?

Kegagalan terbesar pemimpin kleptokrat

Sekiranya dasar-dasar politik dan hegemoni Melayu yang diamalkan sejak 50 tahun yang lalu berjaya untuk mengangkat tahap kehidupan orang Melayu, orang Melayu kebanyakkan tidak akan menjadi sebegitu miskin dan berasa tidak selamat seperti hari ini sehingga Khoo Boo Teik, seorang profesor bersara yang menulis untuk Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) , sebuah badan pemikir di National University of Singapore, dapat menulis artikel sepanjang 19 halaman yang berjudul “Politik Melayu: Keadaan tidak Menentu, Masalah yang berterusan”.

Tetapi kegagalan terbesar pemimpin Umno kleptokrat bukan sahaja pada kegagalan mereka untuk menyedari yang Malaysia adalah sebuah masyarakat majmuk, seperti yang disedari oleh generasi pemimpin Umno terdahulu seperti yang dilihat melalui visi Malaysia yang dinyatakan dalam Perlembagaan Merdeka 1957, Perlembagaan Malaysia 1963, Rukun Negara 1970 dan Wawasan 2020 pada tahun 1991, tetapi apabila mereka menghidupkan kempen pembohongan, fitnah, dan berita palsu yang keji dan bersifat perkauman untuk memfitnah DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja dan meracuni pemikiran orang Melayu bahawa hak mereka, kedudukan, dan masa hadapan mereka diancam oleh DAP.

Lebih dari setengah abad yang lalu sekitar tahun 1969, saya ditanya apa yang DAP perjuangkan dan saya menerangkannya dalam tujuh perkara:

(i) Bahawa Malaysia adalah masyarakat berbilang kaum, dengan kepelbagaian bahasa dan budaya dan bahawa negara Malaysia yang berdaya maju hanya dapat dibentuk jika semua kaum dan kumpulan di negara ini diberi kepentingan yang sama di bawah langit yang sama.

(ii) Bahawa dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, keganasan dan ideologi yang berteraskan paksaan, seperti yang disokong oleh Parti Komunis Malaya, hanya akan menyebabkan perpecahan negara kerana ia akan cepat menjunam menjadi konflik antara kaum. Kekerasan dan keganasan dalam segala bentuk mesti ditolak.

(iii) Bahawa dalam masyarakat berbilang kaum, jika ada kumpulan kaum yang merasa mundur, baik dari segi pendidikan, ekonomi, budaya, bahasa atau politik, maka permusuhan antara kaum akan wujud. Setiap usaha mesti dilakukan untuk menghilangkan ketidakseimbangan antara kaum dan kumpulan ini.

(iv) Kemiskinan bukanlah masalah komunal. Ia adalah masalah sosio-ekonomi dan menganggap kemiskinan sebagai masalah perkauman hanya akan meningkatkan permusuhan antara kaum di negara ini.

(v) Bahawa sosialisme demokratik mampu merapatkan jurang antara mereka yang kaya dan miskin tanpa mengira kaum.

(vi) Membentuk pentadbiran yang bersih, jujur, cekap, dan berkesan.

(vii) Bahawa hanya demokrasi berparlimen yang dapat mencegah pertembungan antara kaum. Sebarang bentuk pemerintahan yang lain boleh menimbulkan rasa syak wasangka antara kaum.

(viii) Komunisme itu tidak kondusif dalam masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia.

DAP tidak pernah lari dengan prinsip dan objektif asasnya ini, namun pemimpin Umno telah berubah daripada sekumpulan pemimpin yang jujur dan tidak korup menjadi pemimpin kleptokrat menjunamkan Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi global dengan 1MDB dan pelbagai skandal rasuah.

Selepas enam dekad, Malaysia telah hilang arah. Daripada menjadi negara hebat bertaraf dunia, kita berada dalam arah menjadi kleptokrasi, kakistokrasi dan negara yang gagal.

Adakah Tengku Razaleigh bersetuju bahawa kita memerlukan konsensus nasional baru untuk mengembalikan Malaysia ke jalan negara hebat bertaraf dunia dan menyelamatkannya dari nasib dan kejian sebagai sebuah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara yang gagal?


LIM KIT SIANG merupakan pemimpin veteran DAP dan ahli parlimen Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semstinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS