Bekas timbalan menteri penerangan meninggal dunia
Bekas Timbalan Menteri Penerangan Railey Jeffrey, 75, meninggal dunia di kediamannya di Damansara Lagenda, Petaling Jaya, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Berita itu dikongsi kenalan allahyarham iaitu mantan pengerusi Persatuan Etnik Cocos Sabah (Pecos) cawangan Lahad Datu Ishak Harry, 74, yang dihubungi Bernama malam tadi.
Ishak berkata perkara itu diketahui melalui adik allahyarham, Kemley Jeffrey.
Jenazah Railey dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.
"Allahyarham merupakan rakan saya dari kecil kerana kami tinggal berjiran di Kampung Segama.
"Allahyarham sesungguhnya seorang sahabat serta pemimpin yang baik hati dan jujur," katanya dan kali terakhir bertemu pada tiga tahun lalu ketika Persidangan Umno di Lahad Datu.
Railey menjawat jawatan Timbalan Menteri Penerangan pada 1986 sehingga 1995 dan selepas itu memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya sehingga 1999.
Pada tempoh itu, dia merupakan anggota parlimen Silam mewakili Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang kemudian menyertai Umno pada 1991.
- Bernama

