Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Amanah sedia bentang idea gabungan besar depan Majlis Presiden PH
Diterbitkan:  Dec 27, 2020 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Pemuda Amanah hari ini berkata cadangan pembentukan gabungan besar pembangkang bukanlah sesuatu yang baru dan bersedia untuk membentangkannya di depan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Mempertahankan gagasan berkenaan sebagai formula terbaik menghadapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Taqiuddin Che Man, berkata langkah itu dirasakan wajar kerana Majlis Presiden PH merupakan badan tertinggi yang boleh membuat keputusan mengenai hala tuju gabungan tersebut.

“Sepertimana termaktub dalam Perlembagaan PH, Majlis Presiden PH adalah platform tertinggi untuk membuat keputusan mengenai hala tuju PH.

“Maka Pemuda Amanah menawarkan diri untuk membentangkan gagasan cadangan gabungan besar ini untuk diteliti dan dibahaskan di peringkat Majlis Presiden PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Setiausaha Pemuda PKR (AMK), Syukri Razab, yang melabelkan idea gabungan besar dicadangkan Pemuda Amanah baru-baru ini sebagai pramatang.

Syukri berkata mereka yang menyokong idea tersebut seolah-olah membayangkan PKR perlu mengalah dan mengetepikan kepentingan parti demi membentuk gabungan besar tersebut.

Hal itu dianggap termasuk mengabaikan rancangan mengangkat Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri.

Pada masa sama, Syukri turut mencabar pemimpin PH yang disifatkannya sebagai obses dengan idea tersebut untuk menamakan orang lain - selain Anwar - sebagai calon perdana menteri. 

“Adalah teramat salah dan sangat tidak bertanggungjawab jika ada kepimpinan PH yang mengatakan cita-cita untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri itu sebagai kepentingan peribadi PKR, walhal perkara ini telah diputuskan secara bersama sebelum PRU yang lalu,” kata Syukri.

Menurut Taqiuddin pembangkang sewajarnya memanfaatkan angka 108 ahli parlimen yang telah dibuktikan dalam pengundian Belanjawan 2021 di Parlimen tempoh hari.

“Dengan ditipu berkali-kali oleh ahli parlimen Umno, langkah untuk meneroka idea gabungan besar ini sangatlah tepat pada masanya.

“Kami mengharapkan agar perbahasan tentang idea ini mampu menatijahkan keputusan yang tuntas, sekaligus mengukuhkan kedudukan pembangkang untuk memenangi PRU-15,” katanya yang juga yang juga Adun Pulai Sebatang di Johor.

Lihat Komen
ADS