Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pusat kuarantin Maeps tambah lebih 3,000 lagi katil
Diterbitkan:  Dec 28, 2020 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Kementerian Kesihatan, dalam satu tweet petang ini, memetik Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Dr Rohaizat Yon sebagai berkata bahawa pembukaan dewan baru di Maeps adalah untuk menampung peningkatan berterusan kes Covid-19 di negara ini.

“Kapasiti katil mungkin akan ditingkatkan sehingga 10,000 katil mengikut keperluan semasa,” katanya.

Dr Rohaizad menjelaskan bahawa PKRC MAEPS 2.0 dibuka semula pada 9 Disember lalu untuk menampung pesakit Tahap 1 dan 2 bukan wargangara.

Ciapan di Twitter itu kemudian mengundang rasa tidak puas hati warga maya yang menyoal layanan baik kerajaan kepada bukan warganegara dan apakah kerajaan mempunyai dana dan katil yang mencukupi untuk merawat warganya sendiri.

Akaun twitter rasmi KKM kemudian memaklumkan bahawa warganegara Malaysia akan dirawat di hospital.

Awal hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata individu yang disahkan positif Covid-19 namun tidak bergejala perlu melakukan kuarantin kendiri di rumah beberapa hari sebelum dibawa ke hospital ekoran masalah kekangan katil.

Katanya, keadaan ituterjadi kerana ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menangani peningkatan kes Covid-19 empat kali ganda dalam sehari.

“Ia berlaku di Sabah juga, kita bercakap mengenai 1,000 kes sehari.

"Ini kerana peningkatan ujian saringan dalam kalangan pekerja asing dan jangkaan lebih banyak kes akan ada.

“Pekerja asing tiada tempat untuk kuarantin… kita ada beribu di sini. Kita meningkatkan jumlah katil ke 10,000,” katanya.

Noor Hisham berkata demikian susulan aduan daripada pemilik perniagaan yang mendakwa dua pekerjanya disahkan positif Covid-19 namun masih belum dibawa ke hospital untuk rawatan atau dihubungi pihak KKM.

Semalam, KKM telah merekodkan 1,196 kes baru positif Covid-19 di seluruh negara dengan Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Johor antara negeri yang mencatatkan lebih 100 kes.

Ini menjadikan kes kumulatif meningkat kepada 105, 096 berbanding sebanyak 84,411 yang berjaya dipulihkan.

Terdapat sejumlah 452 kes kematian di Malaysia akibat wabak yang telah meragut lebih dari 1.77 juta nyawa di seluruh dunia.

Lihat Komen
ADS