Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mohon maaf pada menteri, warganet dakwa JKR pilih kasih
Diterbitkan:  Dec 28, 2020 7:43 PM
Dikemaskini: 11:46 AM

Sejak malam tadi, ciapan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat menjadi sohor di Twitter selepas jabatan itu memohon maaf kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ini selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu terlibat dalam satu kemalangan apabila basikal ditunggangnya terlanggar lubang ketika dia melakukan aktiviti itu di Banting, Selangor.

Bagaimanapun ramai warganet meluahkan rasa tidak puas hati terhadap JKR dengan mendakwa jabatan itu mengamalkan sikap pilih kasih terutama apabila terdapat isu melibatkan menteri.

“Hanya kerana KJ (Khairy) kamu (JKR) mohon maaf. Macam ini, kita perlukan ramai menteri, dan Adun untuk jadi mangsa (kemalangan) supaya tindakan boleh diambil secepatnya,” sindir seorang pengguna akaun Twitter Ahmad Ridhuan.

“Kena dekat YB (Khairy) baru nak ambil tindakan, double standard,” ciap Piqa di Twitter.

Pengguna akaun Twitter Syuhada pula berkata tidak perlu JKR memohon maaf hanya untuk seorang menteri.

"Kamu (JKR) telah membuktikan, kalau VVIP (orang kenamaan) yang jatuh baru akan diambil tindakan pantas. Permohonan maaf ini tidak perlu sebenarnya.

“Kenapa mohon maaf kalau sebelum ini tak pernah? Kehidupan dia lebih penting dari rakyat biasa ke,” katanya.

Beberapa pengguna akaun Twitter juga membangkitkan kes kemalangan sama membabitkan diri atau keluarga terdekat mereka.

“Bila pula JKR Selangor nak betulkan jalan motor di lebuh raya? Saya salah seorang mangsa dengan jalan yang teruk menyebabkan kemalangan.

“Apa kami sebagai rakyat nyawa tidak penting ke?,” soal pengguna akaun Twitter Faiq Afiq Zuhaimi hari ini.

Seorang lagi pengguna akaun Twitter, Hamirul Sarman yang pernah kemalangan motosikal akibat jalan berlubang mahu tindakan segera diambil.

“Parut kenangan musim covid-19 ni. Saya tak perlu pemohonan maaf dari @JKRMalaysia

“Apa yang saya minta cuma tolong ambil tindakan dan pantau jalan raya rosak yang lain terutamanya laluan motosikal. Kasihanilah penunggang motosikal seperti saya,” ciapnya.

Terdapat juga pengguna akaun Twitter Sarah yang mengadu ayahnya pernah terjatuh dan cedera ekoran keadaan jalan raya berlubang.

“Bapa aku kemalangan naik motor langgar lubang patah tiga tulang rusuk ya sebab lubang itu, tetapi masih tak kena turap jalan tar tu.

“Ini (Khairy) jatuh basikal JKR menggelupur turap jalan,” ciapnya.

Semalam, Khairy cedera ringan di bahagian muka selepas terjatuh ketika berbasikal ekoran jalan raya yang berlubang di Jalan Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.

JKR Kuala Langat memohon maaf di Twitter dan berkata akan bertindak segera menyelesaikan masalah itu. Ciapan itu juga sehingga kini menerima 257 ulang ciap dan 435 tanda suka.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas JKR Kuala Langat mengenai keluhan orang ramai.


Lihat Komen
ADS