Wee arah percepat pemeriksaan kontena elak kesesakan pelabuhan
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata dia telah mengarahkan Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) untuk menyelesaikan isu kesesakan di Westports dan Northport dengan mempercepat pemeriksaan kontena melalui kedua-dua terminal.
Keputusan itu dibuat selepas Wee mempengerusikan dialog bersama agensi, persatuan dan pihak berkepentingan lain yang terlibat bagi mengatasi masalah kesesakan di terminal pelabuhan berkenaan.
"Saya telah mengarahkan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk segera mengatur pasukan petugas dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Kastam Diraja Malaysia, Pelabuhan Utara dan Barat (Northport & Westports) bagi mempercepatkan pemeriksaan kontena yang melalui kedua-dua terminal.
"Saya turut difahamkan bahawa Jabatan Kastam akan meningkatkan tenaga kerja yang diperlukan sementara Maqis pula akan meningkatkan pemeriksaannya sehingga 200 kontena sehari berbanding 100 ketika ini.
"Namun, adalah menjadi tanggungjawab pelanggan untuk mengambil barangan mereka setelah melepasi pemeriksaan oleh Kastam dan Maqis.
"Hari ini daripada 246 kontena yang sudah diperiksa, hanya 83 kontena atau satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kontena yang diambil dalam masa 24 jam. Keadaan ini menambahkan kesesakan yang berterusan di pelabuhan," katanya dalam kenyataan yang disiar di laman sosial.
Menurut Wee, PKA juga telah menjelaskan bahawa terminal di Northport dan Westports mengalami kesesakan kerana pertambahan kapal dan kontena secara mendadak pada masa serentak, senario yang serupa berlaku di pelabuhan utama di rantau ini dan juga di tempat-tempat lain.
"Kenaikan mendadak ini juga disebabkan oleh kelewatan dari pelabuhan sebelumnya termasuk di China, Hong Kong dan Singapura, kerana pelbagai faktor.
"Untuk mengurangkan masalah ini, Westports telah memperluaskan ruang untuk kontena TEU tambahan dengan 6,000 slot tanah.
"Daripada jumlah ini, 600 kontena diberikan ruang untuk menempatkan kontena sejuk beku bagi memastikan barangan yang berisiko cepat rosak seperti makanan dapat diperiksa dan segera dihantar ke pasar," katanya.
"Saya juga menggesa semua pemain dalam industri untuk terus terlibat dan menjalin koordinasi dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh banyak faktor yang hanya dapat diselesaikan apabila semua orang memainkan peranan masing-masing.
"Faktor luaran, terutama semasa pandemik juga tidak dapat dielakkan. Kementerian pengangkutan juga bersedia mendengar pandangan untuk mengurangkan masalah yang memberi kesan kepada semua," katanya.
Kesesakan di terminal pelabuhan menyebabkan barang-barang import, kebanyakannya makanan yang mudah rosak terdampar hingga satu minggu. Masalah itu dialami dalam tempoh sebulan lalu.
Pada 24 Dis lalu, PKA memberi jaminan bahawa kesesakan di pelabuhan sedang ditangani dan akan diselesaikan tidak lama lagi.

