Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kelantan tak gopoh umum penemuan nadir bumi’
Diterbitkan:  Dec 29, 2020 6:41 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Tidak seperti Kedah, Kelantan tidak akan gopoh mengumumkan penemuan mineral unsur nadir bumi (REE), kata Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah.

Malah katanya pengumuman oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini adalah mengejutkan.

"Kita kena cermat benda-benda begitu, ada banyak mineral di Hulu Kelantan, besi dan sebagainya di Gua Musang, Jeli dan sebagainya, saya pun tahu.

"Saya terkejut, secara jujur saya terkejut kerajaan (negeri Kedah) buat pengumuman. (Kita) percaya bukan hanya Kelantan dan Kedah sahaja, saya percaya semua negeri ada unsur REE cuma belum teroka.

"Tahun lepas lagi kita ada maklumat cuma kita break, nak settle dahulu dengan (kerajaan) pusat dulu," katanya seperti dilaporkan Awani, hari ini.

Lombong nadir bumi di Amerika Syarikat, gambar hiasan

Anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor itu berkata demikian sebagai mengulas isu penemuan REE yang diumumkan oleh kerajaan Kedah pada awal bulan ini.

Mohd Amar menegaskan, Kelantan juga kaya dengan pelbagai jenis mineral namun jumlah dan jenis mineral itu tidak diketahui secara terperinci atas faktor keselamatan, aspek perundangan, kuasa negeri dan Pusat.

Jadi katanya, kerajaan Kelantan memutuskan untuk tidak menghebohkan dan berbincang dengan kerajaan pusat untuk mencari jalan dan langkah tindakan yang perlu dilakukan.

"Setakat ini tiada dasar yang jelas dari kerajaan persekutuan berhubung sumber bumi.

"Untuk itu Kelantan mengambil sikap tunggu dan semua permohonan syarikat untuk meneroka sumber bumi di Kelantan ditolak," dia dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS