Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
ULASAN | Pengalaman seminggu tinggal bersama pesakit Covid-19

ULASAN | Pada 28 Dis lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata berlaku kelewatan logistik dalam memindahkan pesakit Covid-19, terutama di Lembah Klang.

Justeru dia menyarankan sebahagian pesakit yang tidak bergejala melakukan kuarantin kendiri di rumah sehinggalah dijemput pihak Kementerian Kesihatan untuk ke hospital.

Minggu lalu, saya dan rakan serumah sendiri berdepan situasi itu apabila salah seorang rakan kami dijangkiti wabak ini tetapi tidak diambil ambulans untuk ditempatkan di hospital.

Dia membuat ujian Rapid Test Kit (RTK) Antigen di sebuah klinik swasta atas arahan majikan dan didapati positif pada 23 Dis lalu.

Keadaan ini amat merisaukan. Kami berusaha memastikan agar tidak berlaku penularan di rumah tetapi pada masa sama sedaya upaya membantu rakan kami yang positif itu.

Dia menunjukkan gejala ringan seperti demam, selesema dan batuk dan diberikan ubat paracetamol dan antibiotik.

Saya tak dapat bayangkan apakah perasaannya sepanjang tempoh itu. Bagaimanapun kami berusaha menjaga kebajikannya dan kami sendiri.

Kami hanya duduk di bilik masing-masing. Bila perlu berhubung dengannya, dia akan membuka sedikit pintu bilik dan kami akan bercakap secara jarak jauh sambil memakai pelitup muka.

Jika tidak menempah makanan di luar, kami bergilir-gilir memasak. Makanan untuk pesakit akan disediakan dalam satu bekas khas.

Setelah itu, kami akan membersihkan bahagian pintu bilik pesakit dan bekas makanannya dengan cecair pembasmi kuman.

Sepanjang tempoh itu, ada di kalangan kami yang tertekan dan menangis, malah ada yang turut menunjukkan gejala dijangkiti wabak ini.

Saya sendiri mula mula rasa sakit kepala pada hari keempat dan sakit dada pada hari keenam.

Justeru sejak itu status penilaian kesihatan saya dalam aplikasi MySejahtera bertukar daripada individu dalam pengawasan (patient under surveillance, PUS) kepada Kes Suspek.

Saya dan seorang lagi rakan telah membuat ujian swab di klinik kesihatan pada Isnin lalu. Seorang lagi telah membuat ujian Polymerase chain reaction (PCR) pagi ini manakala tiga yang lain masih belum membuat sebarang ujian. Mereka terpaksa bergantung sepenuhnya dengan aplikasi MySejahtera berkenaan status kesihatan mereka.

Dia didapati positif menerusi ujian RTK Antigen dan perlu menjalani ujian PCR di klinik kesihatan pula selepas itu.

Ketika beberapa hari pertama dia disahkan positif, usaha kami menghubungi klinik kesihatan Klang dan Petaling, yang berdekatan di rumah kami, tidak dijawab.

Pada hari kelima barulah dia dapat menghubungi klinik kesihatan Petaling dan dihubungkan dengan pejabat kesihatan daerah (PKD). Dia menjalani ujian PCR keesokannya.

Kami difahamkan kemudahan klinik kesihatan menerima kes-kes baru setiap hari dan ujian saringan dibuat mengikut giliran.

"Kena ikut giliran, awak kena tunggu. Mereka akan hubungi awak dan saya tiada jawapan yang tepat untuk awak," kata seorang petugas kepada kawan saya.

Hari ini saya dan seorang lagi teman serumah menerima keputusan ujian swab yang dibuat. Kami lega kerana keputusan kami adalah negatif.

Kawan saya itu juga akan mula tinggal di hotel buat sementara waktu, sementara saya dan rakan serumah yang lain kekal kuarantin di bilik masing-masing.

Dia enggan menanggung risiko kerana kawan kami yang positif itu masih belum diambil pihak KKM.

Saya memahami cabaran yang dihadapi para petugas barisan depan tetapi bimbang dengan kesihatan pesakit dan juga diri masing-masing. Saya berharap dia dapat menerima rawatan sewajarnya dengan kadar segera.


Rasyidah Zulkifli adalah wartawan pelatih dari Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS