Penduduk Bandar Mahkota Cheras mengadakan satu lagi bantahan terhadap pembinaan halangan konkrit di atas jalan yang sebelum ini digunakan mereka sebagai jalan pintas untuk memasuki ke lebuhraya Cheras-Kajang bagi mengelak bayaran tol.

Kira-kira 100 penduduk melaungkan slogan menuntut jalan tersebut dibuka semula sambil mereka meletakkan bunga di halangan tersebut.

"Kita beri bunga putih kepada mereka yang telah meninggal dunia, dan bunga-bunga ini untuk jalan mati," kata seorang penduduk.

Dua minit kemudian, mereka beredar dari situ selepas seorang pegawai polis berkali-kali menasihat mereka berhenti melaungkan slogan tersebut. Manakala kira-kira 18 anggota polis, termasuk dari pasukan gerak khas, turut di tempatkan di situ.

Bantahan tersebut untuk kali ketujuh setakat ini agak kurang emosional berbanding dengan yang sebelumnya.

Ketika berucap, Ketua Publisiti DAP Selangor, Ronnie Liu berkata, perkara tersebut akan dibawa ke Parlimen kerana ia membabitkan beberapa kementerian.

Pada 18 Ogos lalu, syarikat pemaju Narajaya Sdn Bhd yang juga anak syarikat Lion Group dalam suratnya kepada para penduduk, berkata jalan keluar tersebut dibina selepas mendapat kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

"Bagaimanapun, katanya, jalan tersebut telah disekat oleh syarikat konsesi tol (Grand Saga Sdn Bhd)," kata Pengurus Besar Narajaya, Liew Choon Yick

"Struktur yang dibina untuk menyekat jalan tersebut dibina di atas tanah di bawah hak konsesi....jadi kami tidak boleh mengubah struktur tersebut," katanya.

'Lepas tanggungajawab'

Sementara itu, Presiden Jawatankusa Bertindak Jalan Keluar Bandar Mahkota Cheras, Tan Boon Hwa berkata, pihak pemaju cuba melepaskan tanggungjawabnya.

"Jika mereka telah menyelesaikan masalah ini sejak 1994 lagi, apabila projek perumahan ini diluluskan, maka masalah ini tidak akan timbul kerana Grand Saga cuma mula mengutip tol pada 1997," katanya.

Pada tahun 2002, Lion Group telah mengiklan jalan keluar itu sebagai satu daya tarikan kerana penduduk dapat mengelak daripada melalui pondok tol yang dicadang dibina (lihat peta).

Grand Saga, bagaimanapun, dilaporkan tidak bersetuju dengan pembinaan jalan pintas tersebut kerana pengguna dari kawasan berhampiran Bandar Mahkota Cheras, juga dapat menggunakannya untuk mengelak membayar tol.

Kempen besar-besaran membantah penutupan jalan tersebut bermula April lalu dengan beribu-ribu tandatangan telah dikutip dan bantahan turut diadakan.

Dalam bantahan mereka pada 2 Julai lalu, penduduk yang marah telah merobohkan halangan tersebut. Bagaimanapun, halangan itu dibina semula pada hari yang sama.

Sejak dua minggu lalu, penduduk di situ telah menggunaan laluan di atas kawasan tanah persendirian sebagai jalan pintas untuk mengelak halangan tersebut.

Ia telah ditar untuk membolehkan pengguna masuk ke lebuhraya itu dan mengelak daripada membayar tol, tetapi ia merupakn jalan sehala sahaja. Berita asal