OCPD PJ hadiahkan telefon bimbit buat mangsa kecurian
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal mencuri perhatian ramai apabila dia menghadiahkan telefon bimbit kepada seorang remaja yang menjadi mangsa kecurian.
Semalam, laman Facebook Polis Daerah Petaling Jaya memuat naik video kunjungan Nik Ezanee ke gerai burger Muhammad Nor Faizal Nordin di Seksyen 7, Kota Damansara semalam.
Sebelum ini, gerai itu digeledah pencuri ketika adik Nor Faizal, yang bekerja separuh masa di situ ketika cuti sekolah, pergi ke tandas.
Antara barang yang dicuri adalah telefon bimbit, wang tunai dan barang jualan.
Selepas mendapat tahu tentang hal itu, Nik Ezanee memutuskan untuk menyumbangkan telefon bimbit bagi menggalakkan dua remaja itu untuk terus mendepani cabaran dalam hidup.
Video itu menunjukkan Nik Ezanee yang menyuarakan kekagumannya terhadap dua remaja itu yang rajin berkerja untuk mencari rezeki.
Dia turut memberi dorongan kepada mereka untuk terus fokus kepada pelajaran dan mengelak daripada terbabit dengan hal-hal seperti dadah dan gangster.
"(Mereka) cekal, walaupun kena rompak, masih datang (bekerja). Saya rasa bangga," katanya.

