Malaysiakini
BERITA

‘Boleh melancong, rentas negeri - mungkin ini masa sesuai untuk PRU’

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Dis 2020, 11:01 tengahari

Ramai pihak mula berteka-teki berkaitan tarikh pilihan raya umum akan datang.

Presiden Umno Zahid Hamidi hari ini turut mengulas perkara itu walaupun tidak menyatakannya dengan jelas.

Dia membayangkan mahukan pilihan raya diadakan ketika keadaan pandemik Covid-19 sudah terkawal.

“Mengembalikan mandat kepada rakyat sememangnya sudah menjadi perjuangan Umno.

“Dan jikalau rakyat sudah dibenarkan merentas negeri dan melancong, mungkin inilah masa paling sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum,” katanya dalam perutusan tahun 2021 baru petang ini.

Katanya, pertukaran kerajaan bukanlah sesuatu yang sihat dan bukan kehendak rakyat, lebih-lebih ketika ramai yang terkesan akibat pandemik. 

Zahid sebelum itu mengulas berkaitan “tohmahan” terhadap kerajaan PN kerana mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH).

“Umno dianggap parti gila kuasa, sehingga sanggup memberi sokongan kepada kerajaan lemah demi jawatan, kononnya,” katanya

“Meskipun tohmahan tidak berasas ini terus dilemparkan, pada masa yang sama kepimpinan parti turut mengenal pasti, di sebalik peralihan kuasa yang berlaku, yang dilakukan oleh seorang individu yang sentiasa agenda tersendiri untuk menganggu ketenteraman negara ini.”

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah semalam menjangkakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bakal berlangsung selewat-lewatnya pada Jun tahun depan.

Bagaimanapun, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof meramalkan ia akan diadakan menjelang tempoh penggal PRU14 yang akan berakhir pada 2023.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.