Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejuang tubuh NGO sementara hingga selesai isu pendaftaran

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menubuhkan sebuah NGO untuk membolehkan anggotanya menjalankan aktiviti mereka selepas usaha mendaftarkan pertubuhan itu sebagai parti politik belum membuahkan hasil.

Presiden Penaja Pejuang, Mukhriz Mahathir ketika menyampaikan amanat kepada anggota parti itu hari ini berkata, mereka boleh bergerak atas nama Pertubuhan Gerak Khidmat Rakyat Malaysia, atau singkatannya Khidmat untuk berkhidmat kepada rakyat.

Dia berkata NGO itu akan bergerak sementara waktu sambil menunggu pendaftaran parti diselesaikan.

"Ada beberapa lagi proses perundangan yang ada. Sambil-sambil tu bukan tak boleh berkhidmat untuk rakyat

"Melalui Pertubuhan Gerak Khidmat Rakyat Malaysia, tuan-tuan dibenarkan guna NGO ni untuk bergerak mewakili parti. Bila dah lulus nanti, tuan boleh ambil sebagai usaha parti pejuang," kata Mukhriz pada majlis Amanat Perjuangan anjuran Pejuang di Shah Alam hari ini.

Majlis itu dihadiri Pengerusi Penaja Pejuang, Dr Mahathir Mohamad yang turut  menyampaikan amanat mengenai hala tuju parti itu pada 2021.

Dalam ucapannya, Mukhriz juga memaklumkan perkembangan terkini mengenai proses pendaftaran Pejuang.

Dia mendakwa aktivis dan peguam mewakili parti itu telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), tetapi masih tidak dapat menyelesaikan pendaftaran mereka.

"Peliknya walau dalam Akta Pertubuhan kuasa luluskan ada pada pendaftar ROS itu, tetapi hal pendaftaran parti Pejuang ni mungkin 'special' sikit.

"Nota makluman dihantar kepada menteri dalam negeri. Siapa menteri dalam negeri? Dan apa tujuannya? Seolah-olah nak dapat perkenan politik.

"Mungkin ada pertimbangan politik dalam pendaftaran parti kita," kata Mukhriz.

Menurut Mukhriz, pihak peguam telah memfailkan semakan kehakiman, manakala mahkamah menetapkan 7 Januari ini untuk menyampaikan keputusan mengenai perkara itu.

Sementara itu, Mahathir memberitahu wartawan bahawa pihaknya mempunyai rancangan lain sekiranya ROS menolak pendaftaran Pejuang. 

Bagaimanapun dia enggan mendedahkan rancangan tersebut.

Lihat Komen
ADS