KHUTBAH | Orang Islam yang beriman mesti meyakini setiap musibah dan ujian yang menimpa ke atas mereka mempunyai hikmah tersirat di sebaliknya.

Pesan khutbah Jumaat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), ujian atau musibah - sama ada kesakitan, kemalangan, mala petaka, kerosakan harta benda serta wabak Covid-19 - mendidik roh dan jiwa untuk menguatkan iman dan jati diri.

Namun, pesan mimbar Jais juga, manusia harus bermuhasabah kerana mungkin musibah sesuatu itu berpunca daripada tangan-tangan mereka sendiri.

“Adakalanya hikmah itu mampu dijangkau oleh akal fikiran manusia dan ada kalanya tidak. Namun perlu diingat bersedih secara berlebihan terhadap musibah yang dihadapi sehingga berburuk sangka kepada ketentuan Allah SWT adalah satu dosa dan musibah yang lebih besar.

“[...] Kita juga dituntut agar sentiasa bermuhasabah diri kerana ada kemungkinan bencana dan musibah yang berlaku disebabkan oleh tangan- tangan manusia itu sendiri.

“Sudah sampai masanya umat Islam melihat semula amaran Allah dan kembali ke pangkal jalan. Marilah sama-sama kita bermuhasabah terhadap setiap peristiwa yang berlaku.

“Apa yang terjadi seharusnya mengajak kita supaya takut kepada Allah, melaksanakan setiap perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya,” kata teks khutbah berkenaan.

Kata Jais lagi, musibah dan ujian akan menghapuskan dosa dan mengangkat darjat seseorang, justeru umat Islam haruslah menempuhinya dengan penuh kesabaran.

Umat Islam yang menunaikan solat di Wilayah Persekutuan pula diingatkan agar lebih cermat memilih informasi supaya benar-benar sah sebelum menjadikannya sebagai rujukan.

Peringatan itu disampaikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika kehidupan manusia sekarang dilanda kebanjiran informasi.

Memetik surah al-Hujurat ayat keenam, Jakim menyampaikan pesan: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Pesan Jakim, seorang mukmin harus memastikan berita yang diterimanya benar dan tepat dan tidak terburu-buru mempercayainya, tidak bersikap tergesa-gesa dan melenting, tidak perlu mengulas semua perkara lebih-lebih lagi yang bukan dalam bidang pengetahuan.

Jakim turut berpesan agar umat Islam bertabayyun (menyemak asas kebenaran) dengan memeriksa asal-usul sesuatu berita - daripada siapa, dari mana dan motifnya - lebih-lebih lagi katanya, terdapat banyak pihak tidak bertanggungjawab yang sedang menyebarkan berita palsu dan sentimen kebencian di media sosial.

“Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun),” katanya memetik hadis kata-kata Rasulullah SAW.