'Persetujuan' yang dicapai antara Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatannya dari MCA, Datuk Ling Hee Leong dalam satu pertemuan semalam, 'tidak mewakili' pendirian sebenar Pemuda MCA.

"Ianya hanya satu pertemuan peribadi antara mereka berdua sebagai kawan. Perkara itu perlu diselesaikan melalui saluran yang betul, iaitu PemudaqBarisan Nasional," kata Setiausaha Agung Pemuda MCA, Dr Wee Ka Siong.

Bercakap kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini, beliau mengakui bahawa 'tiada salahnya' untuk Khairy dan Hee Leong bertemu sebagai kawan.

"(Tetapi Khairy) tidak boleh setakat mencari seseorang (Hee Leong) yang menerima penjelasannya dan menganggap isu itu sudah sudah selesai," katanya.

Dr Wee enggan mengulas sama ada Hee Leong anak sulung bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik bertemu Khairy atas kapasiti peribadinya, tetapi menegaskan bahawa individu yang berlainan mempunyai cara yang berlainan untuk menyelesaikan sesuatu perkara.

Menurut laporan media hari ini, Hee Leong (kanan) menjelaskan bahawa Khairy tidak berniat untuk melukakan perasaan masyarakat Cina Malaysia, dan kedua mereka bersetuju untuk "melihat kehadapan demi kebaikan masa depan negara".

Khairy (foto), yang juga menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menguris perasaan pemimpin BN apabila dia memberitahu satu mesyuarat Pemuda Umno Jumaat lalu bahawa masyarakat Cina Malaysia akan mengambil kesempatan daripada perpecahan dalam parti itu untuk membuat tuntutan bagi memenuhi kepentingan mereka.

Beliau merujuk kepada tuntutan Suqiu pada 1999 serta memorandum yang dikemukakan oleh pemimpin MCA kepada Perdana Menteri awal tahun ini berhubung kepentingan masyarakat Cina.

Kenyataan Khairy itu telah mencetuskan bantahan keras daripada pemimpin MCA dan Gerakan manakala Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Hussein berkata semalam bahawa terpulang kepada Khairy untuk meyakinkan pemimpin BN bahawa kenyataannya itu telah disalahfaham seperti yang didakwanya.

Perbahasan panas?

Mengulas lanjut, Dr Wee berkata, Pemuda MCA tidak menerima penjelasan Khairy itu.

"Ketua kami Datuk Liow Tiong Lai (foto) telah menafikan bahawa Pemuda MCA bersetuju dengan pendirian Pemuda MIC yang menerima sepenuhnya penjelasan Khairy bahawa kenyataannya telah disalahfaham oleh pihak media dan para pemimpin BN.

"Tiada yang tidak konsisten dalam laporan mengenai apa yang Khairy cakap dan takkanlah mereka (media) berpakat mengenai berita tersebut. Pihak media patut mendedahkan rakaman mengenai apa yang Khairy cakap," kata Dr Wee.

Ditanya apakah yang Pemuda MCA mahu daripada Khairy, Dr Wee berkata: "Kami mahu Khairy faham bahawa beliau mesti bertanggungjawab terhadap kenyataannya yang tidak benar itu."

Beliau mengulangi bahawa kenyataan Khairy itu telah menimbul perasaan tidak senang dalam Pemuda MCA dan ia dijangka menjadi bahan perbahasan yang panas di mesyuarat agung pergerakan itu Jumaat ini.

Pemimpin MCA dan Gerakan mengecam kenyataan Khairy itu sebagai "tidak patut dan tidak matang" dan isu tersebut mendapat liputan meluas dalam akhbar bahasa Cina Ahad lalu.

Khairy, yang mendakwa kenyataannya itu telah disalahfaham, berkata kenyataannya itu bertujuan untuk meningkatkan lagi semangat dalam Umno dan bukan untuk menjejaskan semangat perpaduan dalam BN.

Abdullah, ketika ditanya mengenainya berkata, sebarang kontroversi yang timbul, boleh diselesaikan mengikut saluran dalam BN. Bahan asal