Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Beruas letak syarat untuk terima Bersatu
Diterbitkan:  Jan 2, 2021 6:26 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Sebuah bahagian Umno di Perak meletakkan syarat tertentu sebelum sedia bekerjasama dengan Bersatu menjelang PRU ke-15 yang tarikhnya dijangka semakin hampir.

Ketua Umno Beruas, Dr Azhar Ahmad berkata antara syarat yang ditetapkan ialah Bersatu mengembalikan semula semua kerusi mereka yang sebelum ini dimenangi dengan tiket Umno.

Katanya jika semua kerusi Bersatu yang diperolehinya melalui tindakan wakil rakyat terbabit melompat selepas PRU ke-14 pada 2018, barulah Umno boleh menerima parti itu dengan terbuka.

Selepas itu kata Azhar barulah Umno boleh mengadakan perbincangan dengan Bersatu untuk langkah seterusnya.

“Umno boleh terima kerjasama tetapi dengan beberapa syarat.

"Kita bukanlah parti yang keras sangat menolak sesuatu parti itu asalkan perlembagaan mereka tidak lari dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Azhar berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Beruas.

Antara kerusi yang dituntut kembali oleh Umno itu ialah bagi kawasan parlimen Bukit Gantang, Larut dan Bagan Serai.

Ketiga-tiga kerusi itu masing-masing diwakili Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Hamzah Zainudin dan Dr Noor Azmi Ghazali. Mereka kini menyertai Bersatu.

Hamzah merupakan menteri dalam negeri dan setiausaha agung Bersatu, manakala Noor Azmi berkhidmat sebagai timbalan menteri kesihatan.

Sementara itu Umno Paya Besar di Pahang mengemukakan usul menolak bekerjasama dengan Bersatu.

Ketuanya Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata Bersatu wujud hasil rasa kecewa beberapa ahli politik kepada Umno apabila pemimpin mereka dipecat.

“Wujudnya Bersatu atas dendam kesumat yang ingin menguburkan Umno. Wujudnya Bersatu dengan harapan dapat menggantikan Umno sebagai satu-satunya parti Melayu di tanah air ini.

“Lantaran itu, pelbagai kata nista dihamburkan terhadap Umno walaupun akhirnya mereka telah meminta pertolongan Umno bagi mewujudkan kerajaan baru yang dipanggil Perikatan Nasional (PN),” katanya juga dipetik Utusan Online.

Ahmad Tajuddin berkata demikian di mesyuarat perwakilan Umno Paya Besar di Gambang, Pahang.

Lihat Komen
ADS