Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN Sabah sedia kurangkan jumlah kerusi parlimen pada PRU15

BN Sabah hari ini berkata mereka sedia mengurangkan jumlah kerusi parlimen yang akan ditandingi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi memberi ruang kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin berkata ini bagi memastikan kemenangan PRU15 menjadi milik mereka dan kerajaan semasa.

“Dulu (PRU ke-14), BN (Sabah) meletakkan 14 kerusi untuk Umno tetapi (kali ini) kita sedia berunding.

"Kita mahu menang kerana sekarang ini bukan soal bertanding berapa (banyak kerusi) tetapi berapa banyak (kerusi) yang boleh kita menang.

"Bertanding kalau banyak tapi kalah pun tidak guna juga, biarlah tidak bertanding banyak tetapi kita menang sokongan,” katanya sambil menganggarkan sasaran awal Umno bertanding di 10 hingga 12 kerusi pada PRU ke-15.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Umno Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Kinabatangan.

Katanya BN akan berusaha mempertahankan kerajaan GRS yang dibentuk bersama Perikatan Nasional (PN) serta Parti Bersatu Sabah (PBS), sekali gus memastikan semua calon parti gabungan kerajaan itu menang pada PRU ke-15.

Sementara itu, Bung Moktar berkata cawangan Umno yang tidak aktif selain keahlian yang tidak mencukupi akan dibubarkan.

"Hal ini penting dalam pilihan raya kerana kita memerlukan pengundi, apabila ada cawangan yang gagal berfungsi misalnya ketua cawangan dia kena ada ahli dan matlamat utama ialah ahli itu kena jadi pengundi.

"Namun ada ketua cawangan pun tidak tahu berapa ahli yang mengundi di cawangannya.

"Pada saya itu tidak baik, jadi saya menetapkan di Sabah bahawa kita akan bubar cawangan tidak memainkan peranan ini," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS