Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak mustahil Bersatu curi ahli PAS pula'
Diterbitkan:  Jan 3, 2021 2:48 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Selepas Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Bersatu 'membeli' ahli-ahli Umno, giliran Pemuda Umno Kelantan pula tampil memperkuatkan dakwaan itu.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, perbuatan mencuri ahli-ahli Umno untuk menyertai Bersatu bukan perkara baru di Kelantan.

"Contoh apa yang terjadi di Tanah Merah apabila sejumlah ahli Umno ditawarkan habuan untuk menyertai Bersatu melalui ejen-ejen mereka.

"Sudahlah begitu, ada di antara mereka yang tidak tahu pun nama diambil sebagai ahli Bersatu. Ini terang-terang kesalahan pemalsuan dokumen yang boleh disiasat oleh pihak berkuasa," dakwanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pimpinan Bersatu Tanah Merah mahupun Bersatu Pusat setakat ini tidak memberikan respons terhadap dakwaan berkenaan.

Malah, katanya Pemuda Umno Kelantan sudah lama memerhati dan memantau gerakan tersebut yang kini didakwanya telah merebak ke Umno Jeli dan bahagian-bahagian lain di Kelantan.

"Nasihat kami, jika mahu rekrut ahli sekalipun, buatlah secara matang atau gentleman. Jangan dipaksa-paksa dan diberi habuan itu dan ini. 

"Pemuda Umno Kelantan bimbang, tidak mustahil satu hari nanti Bersatu juga boleh mencuri ahli daripada PAS sekiranya tidak dibendung.

"Ini berbeza semangat yang ditunjukkan oleh Umno dan PAS Kelantan apabila kita telah bersetuju untuk tidak menerima mana-mana bekas ahli Umno dan PAS untuk menjadi ahli parti demi menjaga kerukunan hubungan Muafakat Nasional di Kelantan," katanya.

'Sedia ke mahkamah walaupun terpaksa bergadai tanah'

Asyraf sebelum ini mendakwa ada ahli Umno mengaku dibayar sehingga RM100 untuk menyertai Bersatu, manakala setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000.

Semalam, Asyraf berkata Pemuda Umno sedia berdepan Bersatu di mahkamah.

Ini selepas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata akan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang susulan dakwaan berkenaan.

Senada dengan Asyraf, Noor Hariri berkata sayap parti itu bersedia diheret ke mahkamah 'demi perjuangan kepada parti'.

"We all prepared (Kami semua sudah bersedia)Meskipun terpaksa bergadai tanah, demi untuk menegakkan kebenaran, kami sanggup," katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Armada Kelantan, Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz menyelar kenyataan Asyraf Wajdi dan Hariri berhubung dakwaan "curi" dan "beli" ahli Umno.

Katanya, kenyataan sebegitu itu tidak seharusnya keluar dari mulut seorang yang agak berpengalaman dalam arena politik serta ketua kepada sayap sebuah parti yang pernah menjadi tunjang kepada pentadbiran sesebuah negara.

"Di sebalik kenyataan tersebut, ia menggambarkan seolah-olah Asyraf tidak arif tentang apa itu semangat demokrasi terpimpin dan hak setiap warganegara dalam memilih wadah politik masing-masing.

"Adakah beliau sedar bahawa setiap apa yang berlaku yakni penghijrahan ahli dari mana-mana parti kepada Bersatu tanpa ada sebarang gerakan khas atau paksaan mahupun desakan untuk mana-mana pihak berbuat sedemikian.

"Ketua pemuda Umno seorang yang terpelajar serta punyai pengaruh yang kuat maka saya syorkan lampirkan bukti yang jelas dan sahih sekiranya ada mana-mana ahli Umno yang dipaksa atau didesak ataupun dibayar untuk menyertai Bersatu demi menjaga kredibiliti beliau," katanya.

Muhammad Amin mengajak Asyraf supaya berlapang dada menyeru agak memberi lebih fokus kepada agenda muafakat sebagai dianjurkan agama daripada mencari kesalahan sesama sendiri.

"Marilah bersama kita bersatu hati membela nasib rakyat dan bangsa dari kita terus mencari titik pertelagahan sesama kaum," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS