Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Gua Musang usul tolak kerjasama dengan Bersatu
Diterbitkan:  Jan 4, 2021 10:05 AM
Dikemaskini: 2:05 AM

Umno Bahagian Gua Musang memperkukuhkan pendirian ketuanya Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini yang menggesa pemimpin parti anggota kabinet Perikatan Nasional (PN) wajar menarik diri daripada kerajaan.

"(Umno Bahagian Gua Musang) menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu berdasarkan suara akar umbi ahli-ahli peringkat cawangan," katanya pada satu kenyataan selepas mesyuarat bahagian parti itu semalam.

Umno bahagian itu mengemukakan lima usul selepas mesyuarat agungnya semalam.

Ia turut mengemukakan usul berkaitan kerjasama antara Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional.

"Kerjasama ini perlu dikaji semula sekiranya PAS tidak mengutamakan hubungan dengan Umno dalam Muafakat Nasional," jelasnya.

Razaleigh yang juga pengerusi Lembaga Penasihat Umno pada 29 Dis lalu menegaskan bukanlah masalah jika Umno akhirnya terpaksa membawa haluan sendiri menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

“Mengapa tidak?” katanya ketika disoal berkenaan kemampuan Umno untuk bergerak sendiri, tanpa penyertaan Bersatu dan PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, Umno Gua Musang berkata parti itu dan Barisan Nasional telah berperanan besar menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan dan telah menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga PRU15 demi rakyat.

Soal hidup mati Umno

Katanya, ketetapan tersebut diajukan Umno Gua Musang kerana kerajaan PN yang dibentuk tersebut telah menafikan hak-hak dan suara Umno dan BN dalam kerajaan hari ini.

"Menginsafi, bahawa persoalan yang Umno hadapi kini ialah persoalan hidup mati, persoalan masa depan dan survival parti," katanya lagi.

Selain itu, Umno Gua Musang juga mengemukakan usul-usul lain.

Antaranya, jika PRU15 tidak diadakan pada suku pertama 2021, "maka ahli parlimen Umno mestilah menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional."

"Mendesak Umno bertanding tidak kurang daripada jumlah kerusi parlimen dan negeri yang ditandingi dalam PRU14 (dalam tahun 2018) yang lepas.

"Mencadangkan supaya Umno bahagian diberi kuasa sepenuhnya untuk memilih dan menentukan calon Pilihan Raya Umum ke-15," usul Umno Gua Musang lagi.

Lihat Komen
ADS