Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mesin pengimbas di Pelabuhan Barat setahun rosak: Penyeludup mungkin lolos?'

Selepas pendedahan mengenai jaringan penyeludupan yang sudah lama dalam skandal "kartel daging" baru-baru ini, kini sorotan tertumpu pada lompong lain dalam pemeriksaan barang yang memasuki negara.

Tiga pengimbas pemeriksaan kargo di Pelabuhan Barat terminal multi-kargo di Pelabuhan Klang, didakwa tidak berfungsi selama hampir satu tahun, yang mungkin membiarkan pintu terbuka untuk penyeludupan, menurut sumber di industri tersebut.

Semua kontena yang membawa barang-barang yang diimport biasanya perlu melalui pemeriksaan kastam ketika tiba di pelabuhan. Pengimbas sinar-X membantu pegawai kastam melihat isi kontena.

Kegiatan penyeludupan dapat dikesan jika imej imbasan yang ditunjukkan tidak sesuai dengan barang yang diisytiharkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Bagaimanapun, tiga alat pengimbas didakwa didapati rosak dan dibiarkan tidak berfungsi selama setahun sejak Disember 2019.

"Adakah anda tahu mengapa kegiatan penyeludupan meningkat? Sebenarnya, peralatan dari Jabatan Kastan sudah lama tidak diperbaiki," kata sumber industri itu.

"Mesin-mesin pengimbas di Pelabuhan Barat tidak beroperasi hampir setahun. Lampu isyarat (di hadapan stesen imbasan) padam dan lori yang membawa kontena dibenarkan untuk melintas dengan bebas."

"Tiada masalah bagi pemandu. Jika Jabatan Kastam meminta mereka untuk lalu, maka mereka akan melaluinya."

Menurut dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini, seorang pegawai kastam membuat laporan kepada pihak atasan, berkata "tiada imej yang diimbas" oleh tiga mesin tersebut sejak Disember 2019.

Beberapa dokumen lain pula menunjukkan Jabatan Kastam telah melakukan lawatan ke tempat pemeriksaan kargo tersebut untuk "mendiagnosis kerosakan". Bagaimanapun, mesin tersebut didakwa masih belum diperbaiki lagi.

Pelabuhan Barat Klang salah satu terminal perairan yang paling sibuk tidak hanya di Malaysia tetapi juga di Asia Tenggara. 

Menurut laporan suku tahunan Westport Holdings, lebih daripada 7.7 juta TEU (Twenty Equivalent Unit) diproses dalam sembilan bulan pertama tahun 2020.

TEU adalah singkatan dari "unit setara dua puluh kaki" yang dapat digunakan untuk mengukur kapasiti membawa muatan kapal. Dimensi bagi satu TEU bersamaan dengan kontena kapal standard sepanjang 20 kaki (6.1m) dan tinggi lapan kaki (2.4m).

Kontena lintas macam biasa

Walaupun mesin pengimbas didakwa rosak, kontena penghantaran masih memasuki Malaysia menerusi Pelabuhan Barat, melalui pelepasan kastam seperti biasa, dakwa sumber dalam industri penghantaran barang.

Ketika dihubungi, dua syarikat penghantaran barang tempatan memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak menyedari masalah ini dan pemandu mereka tidak menemui masalah dengan mesin pengimbas di pusat pemeriksaan.

"Kontena kami mesti melalui (stesen pengimbasan) dan pengimbas akan mengambil gambar secara automatik."

"Untuk syarikat logistik seperti kami, kami tidak akan benar-benar masuk (ke bilik kawalan) untuk melihat apakah mesin itu beroperasi," kata seorang pengurus syarikat penghantaran barang yang enggan dinamakan.

Dakwanya, sepanjang terlibat dalam industri itu selama lebih satu dekad, insiden pengimbas dilanggar oleh lori sering terjadi.

Dakwanya, barangkali kejadian sebegitu bukan kemalangan disebabkan saiz kontena penghantaran yang besar kerana saiz kontena mesti mengikut piawaian antarabangsa.

"Kami telah melihat video (pelanggaran) itu. Pemandu itu sebenarnya sengaja sengaja merempuhnya," katanya.

Akibat kemalangan lori berkenaan, salah satu pengimbas di Westports tidak dapat berfungsi dengan baik, dakwa sumber itu.

Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan di atas secara bebas.

Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Chong Sin Woon, dalam artikel terbarunya, terbit di Oriental Daily, menekankan Jabatan Kastam sebagai salah satu "penjaga pintu" yang penting di pelabuhan.

Bagaimanapun, timbul persoalan bagaimana pihak berkuasa mengawal penyeludupan dan kegiatan mengelak cukai jika pintu gerbang masuk barangan import itu didakwa berlaku 'kelompongan'.

Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Kastam untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS