Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan Bersatu curi ahli: AMK saran Pemuda Umno lapor SPRM
Diterbitkan:  Jan 4, 2021 2:29 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir menyarankan agar Pemuda Umno membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Bersatu 'membeli dan mencuri' ahli Umno.

Menyifatkan perbuatan Bersatu sebagai mengkhianati rakan sekutu, Akmal berkata dakwaan itu tidak mengejutkan lebih-lebih lagi matlamat penubuhan Bersatu sememangnya untuk menjadi pengganti kepada Umno.

“Dakwaan Ketua Pemuda Umno bahawa dia mempunyai bukti yang kukuh hanya telah mengesahkan bahawa budaya politik wang kembali mekar dan amat mendukacitakan apabila amalan kotor ini melibatkan parti-parti politik yang berselindung di sebalik sentimen agama dan bangsa.

“AMK menasihatkan agar sebarang dakwaan sogokan perlu dilaporkan segera kepada SPRM tanpa perlu menunggu diugut untuk disaman oleh satu pihak lagi seperti yang dinyatakan ketua penerangan Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2 Jan lalu, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Bersatu galak 'mencuri' ahli Umno dengan merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin bahawa parti itu berhasrat memiliki 8,000 cawangan dalam masa tiga bulan akan datang.

Susulan itu, Ketua Penerangan BersatuWan Saiful Wan Jan menuntut permohonan maaf dan mempertimbang tindakan undang-undang ke atas Asyraf susulan dakwaan tersebut.

Terbaru, bekas ahli majlis tertinggi (MT) Umno, Mohamed Nazri Abdul Aziz pula mendakwa Bersatu menawarkan wang berjumlah RM20,000 kepada segelintir ahli Umno bagi menubuhkan cawangan di Perak.

Namun ia disangkal oleh Setiausaha Bersatu Perak, Zainol Fahmi Paharuddin yang menyifatkan dakwaan itu sebagai karut.

Pada masa sama, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata jika terdapat laporan dan siasatan dibuat berhubung dakwaan itu, kemungkinan siasatan berhubung isu lain seperti rakaman suara mirip Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berhubung tawaran jawatan untuk menyokong pembentukan kerajaan baru turut dilakukan.

“Begitu juga dengan kontroversi tawaran surat sokongan Pemuda Bersatu (Armada) sebagai meraih undi ketika perebutan jawatan parti, yang sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan siasatan walaupun telah banyak laporan dibuat,” katanya.

Lihat Komen
ADS