Abdul Kudus dakwa terima surat mengandungi peluru
'Jangan sebut nama Kayveas' lagi dalam mahkamah kalu tak mahu engkau dan keluarga engkau mampus!!! Bang! Bang!'
'Jangan sebut nama Kayveas' lagi dalam mahkamah kalu tak mahu engkau dan keluarga engkau mampus!!! Bang! Bang!'
Inilah ugutan yang ditulis dengan dakwat merah dalam surat yang didakwa diserahkan kepada bekas Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Abdul Kudus Ahmad yang turut mengandungi sebutir peluru hidup malam tadi.
Abdul Kudus, 43, telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di ibupejabat balai polis Brickfields di Kuala Lumpur petang tadi.
Mengikut laporan tersebut, dua lelaki yang menaiki motosikal menemui Abdul Kudus ketika dia balik ke rumah ibunya di Cheras pada kira-kira jam 11 malam.
"Adakah awak Kapten Kudus?" seorang seorang mereka bertanya. Apabila dia menjawab 'Ya', lelaki tersebut menyerahkan sampul surat berwarna perang yang mengandungi surat dan peluru.
Menurut Abdul Kudus, dua lelaki tersebut kemudian pergi dari situ dengan menaiki motosikal tetapi dia tidak dapat mencatatkan nombor pendaftarannya kerana ianya tidak jelas.
Abdul Kudus sedang menghadapi 24 tuduhan menerima rasuah ketika menjadi pengarah penguatkuasa MAPJ. Kesnya, yang masih dibicarakan, turut membabitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas.
Abdul Kudus didakwa di mahkamah selepas Kayveas, yang ketika itu merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menuduhnya mengambil rasuah sehingga RM70,000 sebulan daripada sebuah pengusaha restorn.
Bagaimanapun, Abdul Kudus mendakwa, dia telah diperangkap dan mendakwa Kayveas telah cuba menghalang pegawai penguatkuasa MPAJ daripada membuat serbuan ke atas restoran tersebut.
Ketika dihubungi kemudiannya, peguam Abdul Kudus M Manoharan menyifatkan ugutan tersebut sebagai satu percubaan untuk campurtangan dalam pentadbiran kehakiman.
"Terpulang kepada pihak polis untuk menyiasat dan memutuskan tindakan seterusnya," katanya, sambil menambah, beliau telah menasihatkan pelanggannya itu supaya membuat laporan polis.
Kayveas: Laporan palsu
Sementara itu, Kayveas pula mendakwa kejadian tersebut tidak lebih daripada satu jenaka yang 'dirancang' oleh Abdul Kudus sendiri.
Timbalan menteri itu juga mendakwa, Abdul Kudus cuba menghalangnya daripada memberi keterangan di mahkamah.
Kayveas berkata, beliau hanya menunggu untuk memberi keterangan kerana ia adalah satu-satu peluang baginya untuk memberitahu perkara sebenarnya.
"Ini adalah cerita yang direka kerana kesnya akan didengar September ini. Dia perlukan sesuatu yang baru kerana mereka fikir, apabila mereka subpoena saya, saya akan lari. Mereka silap. Saya hadir di mahkamah, jadi sekarang mereka perlukan satu strategi lain," katanya ketika dihubungi malaysiakini.
"Apa yang ingin saya beritahu (Abdul) Kudus ialah, ini satu percubaan yang baik, tetapi ia belum cukup baik untuk menakut-nakut saya... Pihak polis patut menyiasatnya. Saya yaki 100% ianya laporan palsu," katanya.
Kayveas, yang kini sedang berada di Kuching berkata, orang biasanya menerima peluru melalui pos dan bukan diserah dengan tangan.
"Tiada siapa yang akan menunggang motosikal dan menyerahkan peluru. Mereka yang mahu melakukannya, akan menghantarnya melalui pos. Kita pernah dengar orang menerima peluru, tetapi mereka menerimanya melalui pos.
"Saya tidak ada kena mengenai dengannya. Apa yang hendak disiasat? Ada orang yang sengaja mengguna nama saya...mereka patut menyiasatnya," tambahnya.
Sementara itu, ketua polis Brickfields Mohd Dzuraidi Ibrahim, ketika dihubungi berkata, laporan tersebut telah dirujukkan kepada ibupejabat polis Cheras. Berita asal

