Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi penunggang maut akibat jalan berlubang di Lembah Klang
Diterbitkan:  Jan 4, 2021 6:43 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Sehari selepas seorang warga emas maut selepas kemalangan yang dikaitkan dengan jalan berlubang, tragedi sama berlaku lagi di Lembah Klang hari ini.

Menurut polis, mangsa adalah seorang lelaki berusia 31 tahun dan kejadian berlaku di Jalan PJU 7/2, Mutiara Damansara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari ini apabila mangsa menghampiri lampu isyarat simpang tiga dan terlanggar lubang di bahu jalan, menyebabkan motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan.

Katanya, mangsa terbabas di lorong kiri jalan dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pembantu perubatan.

"Bedah siasat akan dijalankan setelah dapat keputusan Covid-19 di Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Siasatan diteruskan dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu hari ini, satu rakaman video menunjukkan mangsa terbaring di jalan sebaik selepas kemalangan tular di media sosial.

Video itu dipercayai dirakam seorang penunggang motosikal, yang menggesa pihak berkuasa mengambil maklum akan keadaan jalan di kawasan itu yang terletak berdekatan dengan pusat beli-belah The Curve.

"Sekarang sudah 2021, kemalangan sudah banyak kali terjadi di sini. Sebelum ni tak ada kematian tetapi hari ini libatkan kematian.

"Minta harap pihak berkenaan tolong bantu. Kami rider tak minta pun jalan bersih, tapi jalan yang rata," katanya dalam rakaman tersebut.

Semalam, seorang lelaki berusia 75 tahun meninggal dunia selepas motosikalny hilang kawalan - juga dikaitkan dengan jalan berlubang - di Jalan Tengah menuju ke Mid Valley.

Menurut The Star, mangsa dikenali sebagai Ho Yan Yee dan kejadian berlaku pada pukul 7.30 pagi.

Isu jalan berlubang hangat diperkatakan setelah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin cedera setelah kemalangan ketika berbasikal di Banting akibat jalan berlubang.

Permintaan maaf serta-merta oleh Jabatan Kerja Raya Kuala Langat berhubung kejadian itu menimbulkan kemarahan orang ramai yang mempersoalkan kejadian seumpamanya sebelum ini yang bukan melibatkan menteri.

Lihat Komen
ADS