Undang-undang wajib bawa MyKad tidak bermakna Msia negara polis
Memang terdapat undang-undang yang mewajibkan rakyat Malaysia membawa MyKad sepanjang masa tetapi ia tidak bermakna negara ini sebuah 'negara polis'. Kata Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahman Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.
Memang terdapat undang-undang yang mewajibkan rakyat Malaysia membawa MyKad sepanjang masa tetapi ia tidak bermakna negara ini sebuah 'negara polis'. Kata Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahman Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.
Mengikut Seksyen 25(1) Akta Pendaftaran Negara (1990) (Pindaan 2000), yang tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sehingga hari ini, rakyat Malaysia diwajibkan membawa kad pengenalan mereka sepanjang masa atau menghadapi risiko didenda tidak lebih RM20,000 dan tiga tahun penjara atau kedua-duanya, katanya ketika menjawab soalan Datuk Chor Chee Heung (BN- Alor Star).
Abdul Rahman berkata, hukuman denda itu bertujuan untuk menyedarkan rakyat Malaysia mengenai pentingnya membawa bersama kad pengenalan.
Katanya, MyKad memudahkan pihak berkuasa untuk menyemak kerakyatan seseorang dan untuk mengenalpasti mangsa kemalangan, jenayah ataupun bencana alam.
"MyKad adalah cara termudah untuk pihak penguatkuasan menyemak sama ada seseorang itu rakyat Malaysia ataupun tidak.
"Kad pengenalan adalah aspek terpenting keselamatan negara dan juga untuk keselamatan peribadi, tetapi peraturan mewajib ia sentiasa dibawa, tidak mencerminkan Malaysia sebuah negara polis," katanya.
Kualiti MyKad
Menjawab soalan tambahan Chor, Abdul Rahman menjelaskan, MyKad tidak boleh dipalsukan.
Bagaimanapun, katanya, pemohon boleh dengan sengaja memberi maklumat palsu ketika memohon kad pengenalan tersebut.
Beliau juga mendedahkan, terdapat 155 kes mengubahsuai MyKad, membabitkan penukaran foto dan maklumat di bahagian depan kad tersebut.
Sebelum itu, Chor juga bertanya sama ada kualiti MyKad akan dipertingkatkan lagi, kerana menurutnya terdapat laporan kad tersebut pecah dalam tempoh dua tahun penggunaannya.
Dalam jawapannya, Abdul Rahman berkata, mengikut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tidak banyak laporan diterima mengenai kad pecah tetapi berjanji akan berusaha meningkatkan lagi kualiti MyKad. Berita asal

