Sarawak maklumkan masa, lokasi dikunjungi pesakit Covid-19
Bermula hari ini, Sarawak akan memaklumkan tarikh, masa dan kawasan yang dikunjungi seseorang pesakit Covid-19.
Makluman MySejahtera turut akan dihantar kepada mereka yang mendaftar masuk di kawasan berkaitan bagi menggesa mereka membuat ujian saringan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Douglas Uggah Embah berkata sebelum ini negeri itu hanya mengumumkan lokasi dikunjungi pesakit Covid-19 tanpa memaklumkan bila mereka ke sana.
“Setelah berbincang, kami memutuskan satu langkah baru tentang bagaimana kita dapat memastikan orang beri kerjasama adalah dengan mengumumkan lokasi, tarikh dan masa, supaya sekiranya orang awam rasa mereka ada pergi ke tempat berkaitan dalam tempoh masa yang diumumkan, maka kita minta mereka pergi buat saringan Covid-19,” katanya seperti dipetik Borneo Post semalam.
Unggah berkata perubahan dilakukan itu mungkin sensitif, namun maklumnya, Singapura juga melakukan hal sama dalam menangani penularan Covid-19.
Singapura menyiarkan senarai lokasi yang telah dikunjungi pesakit bagi masa lebih 30 minit dalam tempoh mereka dijangkiti.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini menolak untuk mengeluarkan data sedemikian.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mempertahankan keputusan itu, yang katanya, untuk mengelakkan stigma.
Berbanding mendedahkan lokasi, katanya, adalah lebih baik untuk mensanitasi kawasan berkenaan bagi memastikan ia selamat dan membolehkannya dibuka semula kepada orang awam.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming menggesa KKM mencontohi Singapura dengan mendedahkan kawasan yang terkesan bagi membolehkan orang awam mengambil langkah berjaga-jaga.
Ong berkata ini dapat membantu membina keyakinan awam, berbanding pengumuman kabur membabitkan daerah lebih luas, yang boleh menyebabkan keresahan kepada semua orang yang tinggal di daerah berkenaan.
Kemas kini kawasan Covid-19 Malaysiakini adalah semata-mata berdasarkan notis yang dihantar syarikat dan pengurusan kawasan kediaman.

