Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belot sertai MCA? Adun DAP dapat surat tunjuk sebab

DAP telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keng susulan laporan berita yang mendakwa wakil rakyat parti itu telah menyertai MCA.

Akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau melaporkan semalam bahawa Leong telah memohon untuk menyertai MCA manakala Adun Pokok Assam DAP, Leow Thye Yih pula dikatakan akan meninggalkan parti itu pada bila-bila masa.

Leong belum memberi komen secara terbuka mengenai spekulasi tersebut sementara Leow pula telah menafikannya.

Bercakap kepada Malaysiakini, ketua jawatankuasa tatatertib DAP, Chong Chien Jen berkata, Leong mempunyai tiga hari untuk menjelaskan perkara berkenaan kepada parti itu.

Chong Chien Jen - Ketua Jawatankuasa Tatatertib DAP

Sekiranya gagal, tindakan tatatertib akan diambil.

"Kami memintanya untuk menjelaskan jika laporan Nanyang itu benar; kita tidak boleh membuat keputusan berdasarkan laporan media," katanya.

Leong masih belum menjawab permintaan berulang-kali Malaysiakini untuk mendapatkan ulasannya.

Pemangku presiden MCA Mah Hang Soon, sementara itu, tidak mengesahkan atau menafikan berita berkenaan.

Dia sekadar memberitahu Malaysiakini bahawa parti itu mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mempunyai idea dan matlamat yang selaras dengan parti itu.

Dalam satu kenyataan berasingan hari ini, Chong berkata, DAP telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Leong.

Perlembagaan DAP menetapkan bahawa keahlian seseorang itu gugur jika mereka menjadi ahli parti politik lain.

"Apa-apa tindakan memohon keahlian parti lain dianggap sebagai mengkhianati parti," tambahnya.

Pada PRU14, Leong mempertahankan kerusi DUN Malim Nawar, Perak yang mempunyai 22,918 pengundi dengan majoriti memberangsangkan iaitu 6,082 undi. Dia menang dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon MCA dan PSM. Dia juga adalah wakil rakyat selama dua penggal.

Nga Kor Ming - Pengerusi DAP Perak

Sejak dua tahun kebelakangan ini, Leong berselisih dengan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Kemuncaknya, apabila ahli parlimen Tronoh Paul Yong dituduh dan kemudian didakwa merogol pembantu rumahnya, dia mengecam Nga berhubung pendiriannya dalam kes tersebut.

Timbalan bendahari DAP Perak itu keluar parti pada September 2019, tetapi kemudiannya menarik balik keputusannya dua bulan kemudian.

Leong sekali lagi mengkritik Nga ketika DAP mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan negeri Perak pada Disember lalu.

Lihat Komen
ADS