Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno jangan buat keputusan ikut emosi, kata Hishammuddin
Diterbitkan:  Jan 6, 2021 3:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Sejurus selepas Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengadakan sidang media mendedahkan apa yang didakwanya berlaku di peringkat dalaman Umno, seorang lagi ahli parlimen parti itu tampil membuat kenyataan mengenai masa depan mereka.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein hari ini berkata dalam sebarang tindakan yang ingin diambil Umno perlu mempunyai hala tuju, objektif dan sebab yang jelas.

Pertimbangan itu katanya tidak boleh dibuat berdasarkan emosi dan kesan jangka pendek saja.

Dia yang pernah menduduki kerusi naib presiden Umno menambah sebarang keputusan dibuat Umno akan menentukan jatuh bangunnya parti tersebut serta memberi kesan kepada asas perjuangan mereka, selain kedudukan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Jika parti berkeputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu, parti harus putuskan dengan siapa Umno akan bekerjasama menjelang PRU ke-15.

"Adakah dengan DAP? Adakah dengan PKR? Atau bersendirian?" katanya dalam kenyataan tersebut.

Ia muncul hanya beberapa ketika selepas Annuar mendakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberikan perakuan bertulis kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Pendedahan itu dibuat Annuar sehari selepas dia diketepikan daripada jawatan setiausaha agung BN.

Ambil iktibar dari PRU lalu

Sebelum ini beberapa pihak dalam Umno menunjukkan rasa kurang senang kepada Annuar kerana bekas setiausaha agung Umno itu didakwa banyak memihak kepada Bersatu berbanding Umno.

Ia berlaku ketika Umno bukanlah sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional yang diasaskan Bersatu.'

Annuar juga mempertikaikan usul-usul dalam mesyuarat bahagian Umno di seluruh negara yang sebahagian besarnya didakwa membuat ketetapan menolak kerjasama dengan Bersatu.

Antara bahagian yang dipetik Annuar berhubung pendirian terhadap Bersatu itu - sama ada memang bersetuju memutuskan kerjasama dengan Bersatu atau sebaliknya - ialah Sembrong.

Hishammuddin merupakan ahli parlimen Sembrong.

Semalam muncul laporan mendakwa Ahmad Zahid mengarahkan semua ahli parlimen Umno yang menyertai kabinet Muhyiddin Yassin agar melepaskan jawatan masing-masing.

Laporan itu bagaimanapun kemudian didakwa berunsur fitnah.

Kata Hishammuddin jika Umno memutuskan agar semua menteri mereka melepaskan jawatan dalam kerajaan, dia akan mematuhinya.

Untuk rekod Majlis Tertinggi Umno akan bermesyuarat malam ini dan dijangka akan membincangkan perkembangan terkini hubungan parti itu dengan Bersatu.

Pun begitu katanya Umno perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dalam PRU ke-14 lalu apabila parti itu hanya memenangi 79 kerusi berbanding 133 kerusi pada PRU-13.

"Ini bermakna kita kehilangan 54 kerusi. Kita harus insaf dari pengalaman ini," katanya.

Lihat Komen
ADS