Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib bidas tindakan Annuar
Diterbitkan:  Jan 6, 2021 6:17 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Bekas presiden Umno Najib Razak dilihat kurang senang dengan tindakan bekas setiausaha agung BN Annuar Musa yang mengadakan sidang media hari ini serta mendedahkan sokongan bertulis presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi terhadap Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pekan itu juga menolak dakwaan Annuar bahawa parti itu ingin berkerjasama dengan DAP.

Katanya, Umno adalah parti yang meletakkan suara akar umbi pada tempat paling utama dan boleh menyuarakan rasa tidak puas hati melalui saluran parti.

“Jika tak puas hati sebab kena pecat atau tidak bersetuju dengan suara-suara akar umbi serta hampir keseluruhan ketua bahagian Umno yang menolak Bersatu, janganlah buat sidang media khusus untuk tuduh macam-macam untuk mengeruhkan keadaan.

“Kenapa pula Umno nak bekerjasama dengan DAP jika majoriti akar umbi serta ketua bahagian menolak DAP?” tulis Najib dalam satu hantaran di Facebooknya.

Terdahulu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh mengadakan sidang media khas berikutan pengguguran jawatannya sebagai setiausaha agung BN.

Annuar dalam sidang medianya hari ini mengesahkan presiden Umno membuat perakuan bertulis menyatakan sokongannya kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, akuan itu juga dipersembahan kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya mengesahkan wujudnya sokongan secara hitam putih oleh presiden Umno kepada Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan PN yang dianggotai BN.

"Akuan itu dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Annuar turut mendedahkan yang Umno tidak berhasrat untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) sebagai sebuah parti politik.

Lihat Komen
ADS