Kerajaan negeri Kedah meluluskan pertukaran nama Stadium Mini Ffira Mikah di Padang Terap yang mencetuskan kontroversi sebelum ini, kepada Stadium Mini Padang Terap.
Menteri besarnya Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat exco yang berlangsung di Pejabat Daerah Kubang Pasu di Jitra, hari ini.
"Mesyuarat exco tadi meluluskan pertukaran nama stadium berkenaan kepada Mini Stadium Padang Terap," beliau dipetik sebagai berkata oleh Harian Metro.

Sanusi dilapor berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama penghuni Perumahan generasi baru Felda di Jitra.
Sanusi pada 16 Disember lalu berkata proses menamakan stadium mini itu tidak dibuat mengikut prosedur kerana tidak dibawa untuk kelulusan mesyuarat exco.
Isu nama itu tular selepas “Ffira Mikah” didakwa diterbalikkan daripada ejaan nama Pegawai Daerah Padang Terap Hakim Ariff Md Noor.
Hakim Ariff pada 13 Disember lalu berkata “Ffira Mikah” tiada kena mengena dengan namanya.
Menurut Hakim Ariff, Ffira bermaksud “sesuatu yang hebat” dalam bahasa Sepanyol atau Greek, manakala Mikah merujuk kepada malaikat dalam bahasa Arab.
Dakwaan Hakim Ariff itu tidak dapat disahkan berdasarkan semakan silang bahasa yang dibuat Malaysiakini.
