Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM pertimbang letak pesakit Covid-19 di rumah, hotel

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengakui keadaan membimbangkan dihadapi pesakit Covid-19 berisiko rendah di pusat kuarantin disebabkan oleh sistem kesihatan yang terlalu tertekan.

Ketika katil di pusat kuarantin sudah penuh, dia berkata KKM kini mempertimbangkan untuk meletakkan pesakit tanpa atau dengan gejala ringan di rumah atau di hotel.

Sementara itu, pekerja asing pula akan ditempatkan di pusat kuarantin kerajaan.

Beberapa pesakit Covid-19 sebelum ini memberitahu Malaysiakini mereka mengalami cirit-birit setelah memakan hidangan di pusat kuarantin.

Mereka juga menimbulkan kebimbangan mengenai bilik mandi yang kotor dan kurangnya perhatian kepada pesakit.

Ketika ditanya mengenai masalah ini hari ini, Noor Hisham mengakuinya, berkata kementerian akan berusaha memperbaiki keadaan sedemikian.

"Apabila kes meningkat ... jelas kualiti rawatan akan merosot. Beberapa pusat dilaporkan (mempunyai masalah) daripada segi makanan, perkhidmatan dan kebersihan...

"Walaupun begitu, ini masa yang sangat mencabar bagi kementerian untuk menguruskan sejumlah besar pesakit tetapi kita tidak melakukannya sendiri, kita bekerja sama dengan Badan Pengurusan Bencana Nasional (Nadma) dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN).

"Oleh itu, kami berharap dapat memperbaiki keadaan. Sudah tentu, kami boleh melakukannya tetapi beri kami masa untuk meneliti logistik,” katanya.

Pengarah kesihatan itu juga berkata KKM sedang mengkaji sama ada kemungkinan pesakit Covid-19 tanpa gejala dikuarantin di rumah.

Alternatif kedua ialah menempatkan pesakit tanpa gejala (Kategori 1) dan pesakit dengan gejala ringan (Kategori 2) di pusat kuarantin lain seperti hotel, jelasnya.

"Atau kita telah bincang tadi di mesyuarat MKN sama ada kita boleh kerjasama dengan Nadma dan juga MKN untuk menempatkan kes-kes pos tanpa gejala dan gejala ringan di pusat-pusat kuarantin.

"(Bagi) kuarantin untuk kes negatif yang pulang dari luar negara. Kita akan mempertimbangkan untuk menempatkan kes-kes pos untuk warganegara dan mereka yang berkemampuan untuk bayar tempat penginapan di hotel-hotel yang dikuarantinkan,” katanya.

Pesakit positif Covid-19 perlu menjalani tempoh kuarantin wajib selama 10 hari.

Dalam pada itu, pusat kuarantin kerajaan sedia ada seperti Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) di Sungai Buloh, dapat digunakan untuk mengkuarantin warga asing, termasuk pekerja migran, yang positif.

"Jadi mungkin Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) akan digunakan untuk kuarantinkan pekerja-pekerja asing yang tiada tempat yang sesuai untuk diasingkan [...] jadi inilah satu keutamaan yang kita bincangkan dan mungkin kita akan laksanakan,” kata Noor Hisham.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS