Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Belasah' Zahid tunjukkan sikap sebenar Annuar, kata Puad
Diterbitkan:  Jan 7, 2021 11:42 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Puad Zarkashi, berkata Annuar Musa menunjukkan perangai sebenarnya apabila bekas setiausaha agung BN itu 'membelasah' presidennya sendiri dalam sidang medianya semalam.

Kenyataan Puad itu dibuat merujuk kepada dakwaan Annuar mengenai kewujudan surat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin Yassin. 

Kata Puad, ahli parlimen Ketereh itu bukanlah satu-satunya pemimpin Umno yang digantikan daripada jawatan dalam parti.

Sebelum ini katanya jawatan setiausaha agung Umno yang dipegang Tengku Adnan Tengku Mansor juga pernah digantikan. Begitu juga, katanya, dengan Ahmad Maslan yang sebelum ini menjadi ketua penerangan Umno.

Namun kata Puad apabila Tengku Adnan dan Ahmad digantikan mereka tidak memperbesarkan isu tersebut dengan membuat sidang media.

“Kenapa Annuar Musa meraban? Dia bukan dipecat. Cuma diganti oleh Ahmad Maslan. Itu jawatan dilantik. Memang boleh ditukar.

“Ku Nan (Tengku Adnan) pernah dugugurkan sebagai setiausaha agung BN. Dia diganti oleh Annuar Musa. Ku Nan tidak pun buat sidang media membelasah presiden parti.

“Ahmad Maslan pernah jadi ketua penerangan Umno. Dia diganti oleh Annuar Musa. Ahmad Maslan tidak pun buat PC (sidang media) belasah Najib (bekas presiden Umno, Najib Razak)," katanya dalam satu hantaran di media sosial pagi ini.

Dulu kata surat palsu

Ia dibuat sehari selepas Annuar mengadakan sidang media berkenaan pemecatannya sebagai setiausaha agung BN.

Dalam sidang media itu menteri Wilayah Persekutuan terbabit menunjukkan surat akuan yang dipersembahan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dia turut mendakwa bahawa tindakan yang diambil Ahmad Zahid itu merupakan percubaan dan perundingan melibatkan DAP dalam "pembentukan jajaran baru politik."

Kata Puad dengan sidang media itu Annuar mendakwa surat tersebut adalah tulen sambil 'membelasah' Ahmad Zahid.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan surat akuan tersebut, Puad berkata ramai yang tidak tahu yang Annuar mendesak Ahmad - selaku setiausaha agung Umno - untuk membuat laporan polis kononnya surat yang tular sebelum ini sengaja direka Anwar.

“Kenapa mesti buat laporan polis? Kenapa mesti ikut game plan Hamzah Zainuddin (setiausaha agung Bersatu). Kenapa sekarang dakwa surat itu tulen pula?" katanya lagi.

Bagaimanapun Malaysiakini setakat ini tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan Puad itu.

“Sebab itu slogan 'no Anwar no DAP' bukan punca dia dipecat. Dia dendang sendiri alasan itu supaya dia dilihat hero Melayu yang berprinsip. Sebenarnya meraban,” tambah Puad.

Isham Jalil 

Sementara itu, Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil, pula berkata sebab Annuar diganti bukanlah kerana isu Anwar atau DAP tetapi dek desakan akar umbi parti yang tidak inginkan pemimpin “menjual” Umno kepada Bersatu.

Katanya, sekiranya ia berpunca daripada isu Anwar dan DAP, Annuar sudah dipecat tiga bulan lepas kerana Ahmad Zahid sekali lagi menyatakan secara terang-terangan yang Umno tidak akan bekerjasama dengan DAP.

“Hakikatnya, Annuar digantikan jawatannya bukan kerana isu Anwar atau DAP, tetapi kerana kecenderungannya kepada parti Bersatu, iaitu parti yang ditolak oleh akar umbi Umno,” katanya.

Menurutnya, terdapat dua pertiga akar umbi Umno telah mesyuarat di peringkat bahagian untuk memutuskan menolak kerjasama dengan Bersatu.

“Akar umbi Umno tidak mahu ada pemimpin atau setiausaha yang ingin ‘menjual’ Umno kepada Bersatu.

“Secara dasarnya, presiden Umno merangkap pengerusi BN tidak boleh ada seorang setiausaha yang (memiliki) kecenderungan dan kenyataan-kenyataannya bercanggah dengan kemahuan akar umbi,” katanya. 

Lihat Komen
ADS