Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS akan membincangkan ketetapan yang diambil Umno berkenaan usul memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU15, dalam mesyuarat pusatnya Sabtu ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Bendahari PAS Pusat, Iskandar Abd Samad ketika diminta mengulas pendirian parti itu berkenaan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam.

"Tak boleh komen. Sabtu ini, PAS Pusat akan bermesyuarat dan akan ada kenyataan," katanya ketika dihubungi.

Mesyuarat MT Umno yang dipengerusikan presidennya Ahmad Zahid Hamidi malam tadi memutuskan untuk membawa usul masalah hubungan tegang parti itu dengan Bersatu dalam perhimpunan agung Umno, yang dijadual 31 Januari ini.

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, MT mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan usul yang dikemukakan oleh 189 daripada 191 bahagian parti.

Menurut laporan, sebanyak 189 bahagian Umno membuat keputusan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dalam mesyuarat bahagian masing-masing.

Bagaimanapun bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa berkata dia mendapat maklumat hanya 99 bahagian yang menolak kerjasama dengan parti serpihannya itu.

Sementara itu, timbalan ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata dia menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat pendirian berhubung perkara tersebut.

"Susah juga (nak komen), bagaimanapun tertakluk kepada pucuk pimpinan parti. Saya tak boleh beri komen," kata Anggota parlimen Pasir Mas itu kepada Malaysiakini.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung kemelut yang dihadapi dua parti sekutunya.

Menurut Tuan Ibrahim, ini kerana perkara itu masih lagi belum menjadi keputusan muktamad dan hanya akan diputuskan pada perhimpunan agung Umno.

“Oleh kerana usul ini akan dibahas dalam perhimpunan agung Umno (PAU) nanti, PAS berpendirian untuk tunggu dan lihat sejauh mana usul ini akan diterima atau ditolak oleh perwakilan," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Dia bagaimanapun tidak mengulas lanjut berkaitan pertimbangan parti itu buat masa ini.

Lihat Komen
ADS