Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda maut jatuh perahu lepas bantu pindahkan mangsa banjir

Seorang lelaki yang hilang selepas terjatuh dari perahu ketika membawa mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi ditemukan lemas di Kampung Manjor, Kuala Krai hari ini.

Mayat Mohammad Hakimin Rahim, 20, ditemukan oleh ahli keluarganya kira-kira jam 8.30 pagi tadi di tempat mangsa dilaporkan terjatuh dari perahu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.07 malam tadi.

Ekoran itu lima anggota dari balai bomba itu dikerah ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sebelum ditamatkan pada jam 12.31 pagi berikutan keadaan gelap selain hujan dan juga air mula menaiki beberapa kawasan rendah.

"Bagaimanapun, ketika kami bersiap untuk menyambung operasi pagi ini, dimaklumkan mangsa sudah dijumpai oleh ahli keluarganya," katanya ketika ditemui di Kuala Krai.

Rizwan berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan semasa kejadian mangsa sedang mengayuh perahu untuk membawa dua penduduk setempat ke PPS berdekatan apabila dia tiba-tiba pengsan lalu terjatuh ke dalam sungai.

Dia juga dikatakan kepenatan dan mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk semasa membantu penduduk kampung sejak awal pagi sehingga malam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS