MAS bayar RM2,600 hingga RM700,000 untuk penerima MSS
Penerbangan Malaysia (MAS) telah membayar RM495.5 juta setakat ini kepada kakitangannya yang menerima Skim Perlepasan Sepakat (MSS) yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan tersebut.
Penerbangan Malaysia (MAS) telah membayar RM495.5 juta setakat ini kepada kakitangannya yang menerima Skim Perlepasan Sepakat (MSS) yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan tersebut.
Bayaran tersebut adalah antara RM2,600 hingga RM700,000 kepada 2,662 kakitangannya yang layak menerima skim pemberhentian kerja itu dari kalangan mereka yang sudah berkhidmat lebih 21 bulan.
Menjawab soalan Shaari Hassan (BN-Tanah Merah) di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Douglas Unggah Embas (foto) berkata, skim tersebut digred mengikut jawatan dan tempoh perkhidmatan kakitangan terbabit.
Dalam soalan tambahannya, Shaari bertanya sama ada mereka yang menerima bayaran paling banyak itu terdiri daripada kakitangan yang hampir bersara, kerana beliau bimbang dengan jumlah bayaran yang besar itu, dan sama ada MAS akan terus mengalami kerugian kerananya.
Douglas mengesahkan bahawa mereka terdiri daripada kakitangan yang hampir bersara, tetapi MAS telah menubuhkan sebuah panel untuk menyelia skim tersebut. Ia mengambil keputusan untuk menghadkan bayaran kepada RM700,00.
MSS adalah sebahagian daripada rancangan perniagaan tiga tahun MAS untuk kembali mencatat keuntungan selepas mengalami kerugian tahunan sebanyak RM1.3 bilion.
Melaluinya, MAS mengurangkan peruntukan bayaran gaji dengan menawarkan skim pemberhentian kerja kepada 3,000-5,000 daripada 23,000 kakitangannya dalam tempoh tiga hingga lima tahun ini.
Sebelum ini, syarikat berkenaan berkata, kerugian yang dialaminya itu berpunca daripada kenaikan harga minyak dan kekurangan jumlah penumpang, tetapi berharap kembali mencatat untung menjelang tahun depan.
Ketelusan dipersoalkan
Dalam soalan tambahnya, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) berkata ada kakitangan yang mendapat faedah yang besar daipada skim tersebut, manakala lainnya tidak menerima pampasan sewajarnya.
"Orang bertanya sama ada bayaran pampasan itu satu bonanza ataupun peluang untuk menjadi kaya," katanya sambil mempersoalkan ketelusan pihak pengurusan yang mengendalikan skim tersebut.
Douglas berkata, sesetengah kakitangan dilaporkan tidak gembira kerana permohonan mereka ditolak oleh panel tersebut, tetapi kementeriannya tidak menerima sebarang aduan.
"Panel tersebut menolak 410 permohonan. Mereka telah membuat rayuan tetapi keputusan adalah muktamad. Kerajaan tidak menerima sebarang berita sesiapa yang tidak gembira dengan skim tersebut," katanya.
Sementara itu, Douglas berkata, ahli Parlimen masih boleh mendapatkan diskaum bagi tambang penerbangan selagi tempat duduk masih ada. Berita asal

