Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Saya sudah jangka kemelut Bersatu-Umno dari awal

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata dia telah menjangka kemelut antara Bersatu dan Umno sejak dua parti itu bersama-sama menubuhkan Perikatan Nasional (PN), awal tahun lalu.

Mahathir berkata ini kerana Bersatu adalah parti yang kecil jika dibandingkan dengan Umno.

"Saya sudah jangka hal ini ketika mereka tubuhkan (PN). Saya beritahu Muhyiddin, 'anda akan berdepan masalah sebab anda parti kecil. Jika mereka tarik sokongan, habislah.'

"Tetapi Muhyiddin kata dia boleh hadapi masalah itu, jadi kita akan tengok bagaimana dia akan hadapinya (sekarang)," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut antara Bersatu dan Umno.

Semalam, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk membawa usul masalah hubungan dua parti itu ke perhimpunan agungnya yang dijadual pada 31 Januari ini.

Ia susulan mesyuarat 189 daripada 191 bahagian Umno dilaporkan memutuskan untuk menolak Bersatu dalam PRU15.

Ketegangan antara Umno dan Bersatu dapat dilihat sepanjang tahun lalu, antaranya menerusi penyingkiran Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak dan desakan Umno berkaitan pengeluaran KWSP dalam Belanjawan 2021.

Terbaru, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Bersatu "mencuri dan membeli" ahli parti itu. Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan berkata akan menimbang tindakan undang-undang.

Sementara itu, Mahathir berkata kerajaan PN adalah kerajaan paling tidak stabil dalam sejarah Malaysia.

"Dulu majoriti kita (pernah) dua pertiga, sekarang (majoriti) dua, tiga orang saja.

"Ini menyebabkan sepanjang masa digunakan untuk pertahan agar tak jatuh, tak boleh tumpu kepada kerajaan (pentadbiran).

"Yang payahnya (bila) kita nasihat, depa tak mau dengar. Nasihat terbaik sekarang, anda (Muhyiddin) nampak tak begitu kukuh, letak jawatan sajalah," katanya lagi.

Pada bulan lalu, Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat hanya dengan majoriti tiga undi.

Undian belah bahagi ketika bacaan ketiga menunjukkan seramai 111 ahli Parlimen menyokong belanjawan, 108 orang menolak dan seorang tidak hadir.

Lihat Komen
ADS