Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia catat 8,000 kes sehari pada Mei jika kadar semasa berterusan
Diterbitkan:  Jan 8, 2021 9:56 AM
Dikemaskini: 1:59 AM

Malaysia dijangka akan merekodkan peningkatan jumlah kes Covid-19 sehingga 8,000 kes sehari pada akhir Mei, jika kadar infektiviti negara berterusan pada 1.1, menurut unjuran Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah semalam memuat naik dua carta di Twitternya yang menunjukkan kemungkinan senario untuk negara sekiranya gagal menurunkan Covid-19 kepada R-naught, yang kini berada di sekitar 1.1.

Angka R-naught digunakan oleh ahli epidemiologi untuk menerangkan tahap keseriusan sesuatu penyakit berjangkit. Kadar di atas menunjukkan bahawa infektiviti semakin meningkat.

"Perhatikan kepada kes harian Covid-19 dan jangkaan unjuran kes dari 4 Januari sehingga 31 Mei 2021 dengan kadar kebolehjangkitan Ro/Rt pada 1.1 dan 1.2 di Malaysia,” ciap Noor Hisham di Twitternya.

Dengan angka 1.1, KKM mengunjurkan bahawa jangkaan peningkatan 3,000 kes sehari pada minggu kedua bulan Februari dan terus meningkat menjadi 5,000 kes sehari dalam minggu kedua bulan April.

Sekiranya berterusan, jumlah kes harian akan meningkat menjadi 8,000 pada minggu keempat bulan Mei.

 

Dalam senario kenaikan nilai R-naught hingga 1.2, KKM menjangkakan bahawa kenaikan kes harian akan berlaku lebih cepat di Malaysia.

Ia menyaksikan bahawa negara dapat mencapai 5,000 kes harian pada minggu ketiga bulan depan (Februari), dan akan terus meningkat sehingga mencapai 8,000 kes setiap hari pada minggu ketiga bulan Mac.

Semalam, Malaysia mencatatkan jumlah kes harian tertinggi dengan 3,027 kes. Ini adalah kali pertama negara ini mencatat kes harian melebihi 3,000.

Lonjakan besar pada hari Khamis telah meningkatkan kadar infektiviti Covid-19 negara dari 1.07 menjadi 1.11.

Namun, masih perlu dilihat apakah lonjakan itu bersifat sementara atau akan kekal sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.

Lihat Komen
ADS