19 ditahan bantu siasatan penemuan senjata api di Tampoi
Polis menahan 19 individu termasuk warga Indonesia dan Myanmar bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan senjata api di Tampoi, Johor awal tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata senjata itu ditemui pada 1 dan 2 Jan lepas, namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai jenis dan jumlah yang ditemui.
Beliau berkata siasatan sedang dikendalikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
“Adakah ia (senjata) digunakan untuk tujuan menyalahi undang-undang atau bertujuan untuk dilupuskan? Kami masih menyiasat kes ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Sejarah Penubuhan Briged Tengah dan Batalion 4,5,6 dan 19 PGA di Ibu Pejabat Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Cheras, hari ini .
Ditanya sama ada penemuan senjata api itu mempunyai motif serangan terhadap negara, Acryl Sani berkata polis tidak mengesan elemen berkenaan.
“Setakat ini, penemuan senjata api di Tampoi tidak nampak ke arah itu (serang negara)," katanya.
- Bernama

