Persatuan pelajar tidak mahu parti politik masuk kampus
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) tidak mahu sebarang parti politik, termasuk Umno dan Puteri Umno, bergerak aktif di kampus Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
"Biarkan pelajar membina sendiri ketrampilan diri mereka semasa di kampus dan kemudian menentukan pendirian mereka terhadap politik apabila tamat belajar nanti," kata presidennya, Muhamad Zaidi Aziz kepada malaysiakini hari ini.
Katanya, jika hendak masuk ke kampus, biarlah semua parti politik, termasuk pembangkang dan kerajaan dibenarkan berbuat demikian, bukan hanya Umno dan Puteri Umno sahaja.
"Jika tidak, ianya akan menunjukkan demokrasi tidak dilaksana dan ada penyelewengan berlaku," katanya.
Bagaimanapun, kata Zaidi, PKPIM tetap berpendirian bahawa adalah tidak wajar sebarang parti politik dibenarkan masuk ke kampus.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz di Dewan Rakyat semalam bahawa tiada salahnya Umno atau Puteri Umno masuk ke sekolah dan kampus kerana ianya adalah parti kerajaan memerintah.
Idealisma terbantut
Bagaimanapun, parti pembangkang tidak boleh dibenarkan berbuat demikian, kata Aziz sewaktu menjawab dakwaan wakil PAS dari Kuala Terengganu, Syed Azman Syed Ahmad bahawa ada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam dilantik sebagai penolong bendahari Puteri Umno.
Menurut Zaidi lagi, kemasukan parti tertentu terutama yang pro-kerajaan, hanya akan menyekat kebebasan pelajar dan membantutkan perkembangan idealisma dan ciri karisma mereka.
"Perkara itu (kemasukan parti politik) sendiri bercanggah dengan peraturan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang tidak membenarkan pelajar melibatkan diri dengan sebarang kegiatan politik," kata Zaidi.
Malah, penggunaan Auku juga sering dibeza-bezakan, tambah beliau.
"Penglibatan pelajar itu (di UitM Shah Alam) sudah melanggar Auku tetapi tiada tindakan diambil. Tetapi sebaliknya pula akta itu akan digunakan untuk menyekat pelajar menyuara pandangan mereka," katanya.
Kaji semula sistem kemasyarakatan
Sementara itu, bekas pemimpin pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Nasri Muarat berkata, walaupun ada parti politik atau persatuan naungan Umno masuk ke kampus, tiada jaminan ia mendapat sambutan kerana pelajar mempunyai prinsip mereka sendiri dan tidak mudah terpengaruh.
Katanya, pelajar yang kini sudah cukup tertekan dengan jumlah waktu pembelajaran dan beban pinjaman, lebih cenderung kepada persatuan atau gerakan pelajar yang mampu menjaga kebajikan mereka.
Mengulas mengenai Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengenakan tindakan memotong markah pelajar yang tidak keluar mengundi dalam pilihanraya kampusnya nanti, Zaidi berkata, pihak universiti tidak sepatutnya mengunakan paksaan ke atas pelajar.
"Memang ia bertujuan baik agar warga kampus menyertai pilihanraya, yang sebelumnya hanya menarik 30 hingga 40 peratus pelajar sahaja. Tetapi adalah tidak wajar menakut-nakutkan pelajar," katanya.
Sebaliknya, kata beliau, tanggungjawab itu boleh dipupuk melalui ceramah atau sesi penerangan dan bukannya secara paksaan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UUM, Prof Madya Dr Mohamed Mustafa Ishak hari ini dilaporkan berkata pihak universiti akan memotong 10 markah pelajarnya yang tidak keluar mengundi pada pilihanraya kampus, 22 November nanti.
Semua IPT awam buat pertama kalinya, mengadakan pilihanraya persatuan pelajar dalam tempoh yang hampir sama tahun ini iaitu pada 22 dan 23 November. Hanya Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sahaja berkecuali, dengan mengadakanya pilihrayanya mereka pada 29 November ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.