Ahli perniagaan minta maaf buat tuduhan tak berasas pada FGV
Pengarah syarikat perusahaan, Abu Johan Aboo Backer, hari ini memohon maaf atas kenyataan yang dikeluarkannya terhadap FGV Holdings Berhad (FGV) dan anak-anak syarikatnya pada 2019, termasuk berkenaan hutang RM4 juta yang didakwa tidak dijelaskan.
Menurut Abu Johan, kenyataan itu dibuat berhubung kontrak kerja-kerja pembinaan bagi sebuah projek di Chuping, Perlis membabitkanantara syarikatnya, Syarikat Abu Johan Aboo Backer dengan anak syarikat FGV, Felda Properties Sdn Bhd (Felda Properties).
Selain Felda Properties, kenyataannya turut menyentuh FGV, Felda Engineering Sdn Bhd, Allied Engineering Consultancy Services Sdn Bhd serta pengurusan, kakitangan dan pakar perunding mereka serta jumlah yang dikatakan terhutang kepadanya sebagai kontraktor projek berkenaan.
Tuduhan-tuduhan yang dibuatnya itu, akui Abu Johan, tidak mempunyai kebenaran mahupun asas.
“Saya kini menerima dan mengakui bahawa pernyataan-pernyataan yang telah dinyatakan oleh saya adalah bersifat fitnah dan tidak benar, termasuk jumlah RM4 juta yang kononnya terhutang kepada saya.
“Saya dengan tegasnya menarik balik pernyataan-pernyataan tersebut. Saya mengakui bahawa tidak terdapat kebenaran atau asas kepada sebarang tuduhan yang telah dibuat oleh saya dan saya telah dibayar sepenuhnya untuk jumlah-jumlah yang terhutang kepada saya yang berbangkit daripada projek tersebut.
“Saya dengan ikhlasnya menyesal terhadap kerosakan yang ketara, kesusahan dan rasa malu yang diakibatkan kepada nama baik kumpulan FGV dan kakitangan yang disebabkan oleh pernyataan-pernyataan tersebut.
“Saya mengambil kesempatan untuk memohon maaf secara ikhlas dan menyatakan kekesalan saya kerana membuat pernyataan-pernyataan tersebut, dan tidak akan mengulangi pernyataan-pernyataan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu disiarkan di laman web FGV.
Pada April 2019, Abu Johan membuat sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan mendakwa Felda Properties gagal melangsaikan baki bayaran RM4 juta yang tertangguh sejak sembilan bulan selepas kontrak firmanya ditamatkan pada 9 Julai 2018.
Menurut Abu Johan, projek Perumahan Warga Felda (PWF) Chuping, Perlis itu dimiliki oleh Felda Properties, sementara dua lagi anak syarikat FGV, Felda Engineering Services dan Allience Engineering Consultancy Services pula dilantik sebagai konsultan projek.
Dakwanya, kontrak itu ditamatkan atas alasan lewat menyiapkan projek, tetapi Abu Johan mendakwa kelewatan itu bukan disebabkan pihaknya, tetapi konsultan.
Abu Johan turut mendakwa wujud konflik kepentingan anak syarikat pemilik dan konsultan iaitu Felda Properties dan Felda Engineering, apabila pengarahnya terdiri daripada orang yang sama.

