Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sistem IT Hospital Selayang tergendala sejak tiga hari lalu

Kakitangan perubatan di Hospital Selayang terpaksa mengakses catatan pesakit secara manual sejak tiga hari lalu susulan sistem IT yang tergendala, sekali gus menyebabkan sistem hospital itu yang sedia sarat menjadi perlahan.

Dua sumber yang bekerja di hospital mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini, mengatakan bahawa sistem IT yang disebut Powerchart tergendala sejak 6 Januari.

"Ini adalah sistem yang kami gunakan untuk merekod semua yang telah kami lakukan termasuk sejarah pesakit dan perkembangan mereka di hospital.

"Setiap siasatan makmal, imbasan CT, laporan akan direkodkan di Powerchart jadi ketika sistem tergendala, kami tidak dapat mengakses catatan sebelumnya dan ini termasuk laporan darah," kata seorang sumber.

"Biasanya untuk mengambil bekalan darah, anda hanya dapatkan dalam sistem, sekarang setiap rekod darah memerlukan anda untuk mengisi borang dan mengirimkannya ke makmal," tambah mereka.

Perubahan itu pasti menambahkan beban kerja buat kakitangan shospital yang sudah sedia sibuk susulan pandemik Covid-19.

Walaupun Selayang bukan hospital khusus Covid-19, kes Covid-19 sudah tiba di semua hospital sekarang, dan jika mereka tidak dapat dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh maka mereka akan terperangkap di hospital seperti di Hospital Selayang.

"Sekarang jika seorang pesakit datang kepada kami, kami tidak tahu apa yang dikatakan oleh laporan sebelumnya, kecuali jika pesakit telah membawa salinannya sendiri," kata sumber itu.

Mereka memberitahu Malaysiakini bahawa ini bukan kali pertama Powerchart berhenti berfungsi tetapi pada kejadian sebelumnya, ia diselesaikan dengan lebih cepat.

Percubaan untuk mendapatkan respons dari Hospital Selayang dan pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Dr Shaari Ngadiman setakat ini tidak berjaya.

Portal berita kesihatan CodeBlue bulan lalu melaporkan bahawa sekurang-kurangnya dua jururawat kakitangan bilik operasi di Hospital Selayang dijangkiti setelah mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Portal itu melaporkan bahawa jururawat berkenaan hanya memakai pelitup muka ketika berjumpa pesakit sekiranya pesakit diuji negatif dengan kit ujian cepat Antigen (RTK Antigen).

Hasil ujia RTK diperoleh lebih cepat, tetapi kurang sensitif dalam mengesan Covid-19, berbanding dengan ujian reaksi berantai polimerase (PCR).

Lihat Komen
ADS