Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tetap kuat kalau terpaksa bersendirian, kata bekas menteri

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, jika ditakdirkan PAS tidak lagi ada dalam Muafakat Nasional, ia bukan menjadi masalah kepada Umno.

Jelas Nazri hal itu kerana memang selama ini pun Umno boleh berdiri teguh secara bersendirian.

“Umno ini kalau terpaksa stand alone (berdiri sendiri) pun kita boleh.

"Bukannya (Umno) tak pernah sendiri. Selalu juga menang berkali-kali. Pilihan raya umum (PRU) lepas saja Umno kalah.

“Macam PAS dan DAP, berkali-kali kalah (dalam PRU) tak ada pula kata tak nak tanding ke apa," katanya ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Nazri berkata demikian ketika ditanya adakah Umno akan menerima kesan mendalam sekiranya PAS membuat keputusan untuk kekal dalam Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu.

Untuk rekod di sebalik jalinan kerjasama rasmi dengan Umno, PAS juga menjadi sebahagian daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang kini diterajui Bersatu.

Pada masa sama konflik di antara Umno dan Bersatu semakin memanas dengan kebanyakan pihak meramalkan hubungan mereka akan berakhir secara rasmi tidak lama lagi.

Keadaan itu mendorong timbulnya suara-suara dalam Umno mendesak agar PAS membuat keputusan sama ada mahu memihak kepada Muafakat Nasional atau PN.

Pada masa sama PAS pula menegaskan bahawa mereka "memperkasakan Muafakat Nasional dan mempertahankan PN". 

Kata Nazri Umno sebenarnya sebuah parti yang kuat namun mungkin ada segelintir pemimpinnya berasa kurang yakin ketika ini.

“Tetapi kalau akhirnya nanti kita kena stand alone (berdiri sendiri) kita buatlah. [...] Jangan berharap ke parti lain,” katanya.

Pun begitu Nazri yang juga bekas menteri undang-undang dan anggota Majlis Tertinggi Umno berkata jika memang PAS meninggalkan Umno sudah tentu parti itu kecewa.

Katanya berdasarkan kerjasama yang dijalin Umno Padang Rengas dengan anggota bawahan PAS di kawasan itu, keadaan sebenar adalah berbeza daripada pimpinan.

Dakwa Nazri ketika kerjasama membuat persiapan menghadapi PRU ke-15 dijalankan dengan PAS, mereka mahu bersama Umno.

“Tapi kita faham kalau akar umbi (PAS) akhirnya ikut keputusan pemimpin mereka, itu amat mendukacitakan buat kita,” tambahnya. 

Lihat Komen
ADS