Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pesawat Sriwijaya Air dipercayai terhempas
Diterbitkan:  Jan 9, 2021 7:24 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

GLOBAL | Pesawat Sriwijaya Air yang membawa lebih 50 penumpang dipercayai terhempas di sekitar Pulau Laki, daerah yang merupakan gugusan pulau yang dikenali sebagai Kepulauan Seribu, Indonesia.

Media tempatan Kompas.com memetik ketua daerah Kepulauan Seribu, Djunaedi mengesahkan maklumat tersebut.

"Ya, (di Pulau Laki)," kata Djunaedi.

Sekitar jam 6 petang, pasukan mencari dan menyelamat dilaporkan tiba di lokasi kejadian.

Sementara itu, TV One Indonesia melaporkan sebuah kapal peronda pemerintah menjumpai cebisan daging di sekitar lokasi di mana pesawat itu dipercayai jatuh.

Kapten kapal, Eko, berkata mereka menuju ke lokasi berikutan laporan daripada nelayan tempatan yang mendengar bunyi letupan seperti guruh.

"Ada ditemui serpihan-serpihan dari daging, mungkin tubuh dari manusia," katanya dilapor TV One.

Pesawat itu pada mulanya terputus hubungan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta pada Sabtu ketika dalam penerbangan ke Pontianak di wilayah Kalimantan Barat.

Perkhidmatan penjejakan pesawat, Flightradar24 menerusi Twitternya menyatakan Penerbangan SJ182 "hilang dari ketinggian lebih 10,000 kaki dalam masa kurang satu minit, kira-kira 4 minit setelah berlepas dari Jakarta".

Pesawat itu merupakan pesawat Boeing 737-500 yang berusia 27 tahun, menurut butiran pendaftaran dalam data penjejakan berkenaan.

Sriwijaya Air, sebuah syarikat penerbangan Indonesia, dalam satu kenyataan mengatakan pihaknya masih mengumpulkan maklumat lanjut mengenai pesawat itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS