Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kluster mahkamah' dalam Umno tak hirau nasihat Agong, PAS'

Seorang pemimpin Bersatu mengecam 'kluster mahkamah' dalam Umno kerana tidak menghiraukan nasihat Yang di-Pertuan Agong dan PAS dalam usaha berterusan mereka untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Plus.

Kluster mahkamah merujuk kepada pemimpin Umno yang sedang dibicarakan daalm kes rasuah, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak; Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

"Adalah jelas kini kluster mahkamah serta para penyokong mereka dalam Umno tidak menghiraukan nasihat Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan sidang parlimen hujung tahun lepas agar kurangkan berpolitik dan fokus bantu rakyat serta negara," kata ahli majlis tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman kepada Malaysiakini.

"Malah kelompok kluster mahkamah Umno tersebut serta "warlords" politik tua yang tak sudah-sudah mahu menjatuhkan Kerajaan PN, tidak pernah menghiraukan nasihat rakan mereka PAS dalam Muafakat Nasional apatah lagi suara-suara rakyat marhaen luar sana yang sudah menyampah dengan drama gila kuasa dari ahli-ahli politik yang terdesak itu," katanya.

Muhammad Faiz mengulas keputusan Ahli Parlimen Umno Machang, Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan daripada PN Plus hari ini.

Langkah itu menyebabkan PN Plus kini hanya memiliki sokongan 110 daripada 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Namun, disebabkan pembangkang tidak memiliki majoriti,  PN Plus masih boleh mendirikan kerajaan.

Langkah itu dilakukan menjelang perhimpunan agung Umno pada 31 Januari ini, di mana parti itu antara lain akan membuat keputusan mengenai hubungannya dengan Bersatu.

Ahmad Maslan berkata, salah satu isu yang menyebabkan rasa tidak puas hati Umno terhadap PN adalah kerajaan masih meneruskan kes-kes mahkamah yang dimulakan pentadbiran lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR), Hassan Karrim berkata, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin perlu mengadap Agong dan mengemukakan pilihan yang ada, setelah hilang majoriti.

Hassan berkata pilihan tersebut termasuk Muhyiddin mengundurkan diri, atau menasihati baginda mengenai empat pilihan lain.

Pilihan lain yang dimaksudkan adalah membubarkan parlimen, mengisytiharkan darurat, melantik kerajaan sementara, atau melantik Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kerajaan minoriti serta memberinya peluang untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Pemimpin Umno yang menentang Bersatu sebelum ini menegaskan bahawa mereka juga menentang kerjasama dengan Anwar dan sekutunya, DAP.

Lihat Komen
ADS