Malaysiakini
BERITA

Trump isytihar darurat di Washington

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Jan 2021, 2:46 pagi

GLOBAL | Presiden Donald Trump mengisytiharkan darurat di Washington D.C. menjelang pelantikan rasmi presiden yang dipilih Joe Biden yang dijadual 20 Januari ini, lapor Agensi Berita Sputnik.

"Hari ini, Presiden Donald J Trump mengisytiharkan darurat di Washington (District of Columbia) dan memerintahkan Persekutuan membantu gerak kerja susulan Perasmian Presiden ke-59 dari 11 Januari hingga 24 Januari 2021," memetik kenyataan Rumah Putih pada Isnin.

Pada Isnin, media melaporkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) memberi amaran protes bersenjata sedang dirancang di semua 50 ibu negara Amerika Syarikat (AS), termasuk bangunan Capitol, menjelang pelantikan rasmi presiden.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) diberi kuasa untuk membantu memastikan keselamatan awam dan melindungi harta benda sebagai sebahagian usaha mengurangkan ancaman, menurut kenyataan itu.

Pada 6 Januari, sekumpulan penyokong setia Trump menyerbu bangunan Capitol, bertempur dengan polis dan merosakkan harta benda. 

Rusuhan itu tercetus selepas Trump mendesak penyokongnya untuk membantah apa yang didakwanya berlaku penipuan dalam pilihan raya.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.