Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan awam berfungsi seperti biasa
Diterbitkan:  Jan 12, 2021 12:58 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa di peringkat persekutuan dan negeri sepanjang tempoh pelaksanaan darurat yang diisytiharkan bagi membendung pandemik COVID-19.

Perdana Menteri berkata Jemaah Menteri dalam nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat bahawa darurat seluruh negara perlu diisytiharkan memandangkan kes jangkitan semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat.

“Oleh itu, kerajaan perlu mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan rakyat tidak lumpuh.

“Jentera pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan proklamasi darurat,” katanya dalam perutusan khas sempena darurat yang disiarkan di stesen televisyen utama negara hari ini.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Muhyiddin dalam perutusan itu juga menjelaskan, proklamasi darurat itu bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, malahan perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan.

Tegasnya, Ordinan Darurat diisytiharkan bagi meningkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam ketika negara berdepan dengan penularan pandemik COVID19.

"Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah Ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS