Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang: Negara lain juga darurat tapi tak gantung fungsi Parlimen
Diterbitkan:  Jan 12, 2021 5:01 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempertikaikan keperluan menggantung fungsi Parlimen susulan pengumuman pengisyitharan darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, negara lain yang turut mengisytiharkan darurat dalam membendung penularan jangkitan Covid-19 meneruskan fungsi Parlimen atau legislatif.

“Muhyiddin juga perlu beringat bahawa negara lain di seluruh dunia telah pun mengisytiharkan keadaan darurat untuk melawan Covid-19 tanpa menggantung fungsi Parlimen atau legislatif mereka.

“Malah, perkara ini menjadi satu ujian komitmen kerajaan terhadap demokrasi berparlimen. Mengapakah Malaysia patut menjadi lain?

“Tambahan lagi, proklamasi darurat di negara-negara lain tidak berlangsung hampir selama tujuh bulan. Mengapakah perkara ini berlangsung selama ini di Malaysia?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan tempoh darurat akan berlangsung sehingga 1 Ogos di mana persidangan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri hanya akan bersidang pada satu tempoh yang akan ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sebarang pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil juga tidak akan diadakan sehingga jawatankuasa khas bebas memaklumkan keadaan kes Covid-19 telah beransur pulih atau pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh darurat berlangsung, pentadbiran kerajaan, jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri-negeri akan terus berfungsi.

Sementara itu, Lim dalam kenyataannya mempersoalkan mengapa tempoh darurat perlu diadakan dalam tempoh yang panjang, sehingga tujuh bulan.

Lim berkata adakah ini bermakna kerajaan Perikatan Nasional tidak mempunyai keyakinan terhadap pelaksanaan semula PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan di negeri-negeri tertentu dapat menghentikan penularan dan kematian akibat wabak Covid-19.

“Muhyiddin telah mengatakan bahawa kerajaan memerlukan sesetengah kuasa untuk melawan wabak Covid-19 yang semakin teruk.

“Muhyiddin tidak sepatutnya bimbang dengan perkara ini, memandangkan saya yakin bahawa Parlimen tidak akan menghalang undang-undang untuk memberikan kerajaan semua kuasa yang diperlukan untuk melawan wabak Covid-19 dengan efektif, memandangkan semua rakyat Malaysia bersatu hati dalam tugas penting melawan wabak Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, Muhyiddin mengumumkan pengisytiharan darurat kurang daripada 24 jam dia mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan, yang berkuatkuasa pada 13 Januari selama 14 hari.

“Dalam perutusannya pagi tadi, Muhyiddin memberikan jaminan yang beliau akan menegakkan prinsip dan amalan pentadbiran yang baik.

“Selari dengan komitmen perdana menteri untuk menegakkan pentadbiran yang baik, adakah beliau bersetuju untuk membenarkan parlimen dan dewan undangan negeri untuk terus berfungsi untuk menerajui pendekatan yang melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ dalam perang melawan gelombang ketiga wabak Covid-19, satu aspek yang tidak dapat dilihat sama sekali dalam tempoh 11 bulan yang lepas semasa negara kita berhadapan dengan wabak Covid-19?” soal Lim lagi.


Lihat Komen
ADS