Malaysiakini
BERITA

Mahkamah kekalkan saman projek hibrid solar RM1.25 bilion

Hidir Reduan Abdul Rashid

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Jan 2021, 9:32 pagi

Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin gagal mengketepikan saman berkaitan dengan projek kontroversial hibrid solar Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan mengketepikan saman itu melalui keputusan yang dihantar melalui e-mel kepada pihak-pihak yang terbabit pagi ini.

Tidak ada prosiding mahkamah terbuka untuk kes berkenaan hari ini susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diumumkan minggu lalu ke atas Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh media hari ini, hakim Ahmad Bache juga menolak permohonan oleh perunding perniagaan Rayyan Radzwill Abdullah untuk penghakiman terus dalam tuntutan saman itu.

Mengikut undang-undang, penghakiman terus adalah keputusan tanpa menjalani perbicaraan penuh.

Rayyan memohon penghakiman terus dalam tuntutan terhadap Saidi, sementara Saidi pula memohon untuk mebgketepikan saman berkenaan.

Rayyan dan Saidi adalah saksi pendakwaan yang tampil memberi keterangan terhadap Rosmah Mansor dalam perbicaraan rasuahnya yang sedang dijalankan berkaitan dengan projek itu. Rosmah adalah isteri bekas perdana menteri Najib Razak.

Berikutan keputusan hari ini, mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi akan memutuskan saman yang difailkan seorang ahli perniagaan terhadap rakan kongsinya yang juga bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd berhubung isu pembayaran membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas perbicaraan penuh.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Rayyan Radzwill Abdullah untuk mendapatkan penghakiman terus dalam samannya terhadap Saidi Abang Samsudin.

Mahkamah turut menolak permohonan Saidi untuk membatalkan saman itu.

Penghakiman terus ialah mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Rayyan, 42, memfailkan saman itu pada 29 Feb tahun lepas yang mendakwa rakan perniagaannya itu gagal melunaskan baki RM9 juta atas perkhidmatan yang diberikan dalam usaha mendapatkan projek solar hibrid terbabit.

Dalam penghakimannya, Ahmad berkata mahkamah berpuas hati bahawa Saidi selaku defendan telah berjaya membuktikan bahawa terdapat isu bona fide yang perlu dibicarakan dalam kes itu dan beliau harus diberi peluang untuk membela diri melalui perbicaraan penuh.

Beliau berkata antara isu bona fide itu ialah hujah Saidi bahawa Rayyan, selaku plaintif, telah gagal membuktikan kewujudan perjanjian secara lisan.

"Defendan berhujah bahawa plaintif gagal membuktikan kewujudan perjanjian secara lisan dan telah bergantung kepada surat ‘tanpa prasangka’ bagi menyokong dakwaan itu namun dokumen tersebut tidak boleh diterima di bawah Akta Keterangan.

“Ini merupakan isu bona fide yang sah dan perlu dibicarakan untuk membolehkan kedua-dua pihak berhujah serta menyuarakan pendapat. Atas sebab-sebab yang telah disebutkan di atas, permohonan plaintif untuk mendapatkan penghakiman terus ditolak tanpa sebarang perintah berhubung kos," katanya.

Berhubung permohonan Saidi untuk membatalkan saman itu, Ahmad berpendapat jika dibenarkan, plaintif akan kehilangan segalanya dan tidak dapat meneruskan usaha untuk mendapatkan keadilan jika mahkamah sudah menutup pintu dalam kes tersebut.

"Defendan masih mempunyai peluang kedua jika permohonan ini tidak dibenarkan kerana perbicaraan akan diteruskan dan beliau mempunyai peluang untuk membentangkan kesnya di mahkamah. Justeru, permohonan sedemikian hendaklah hanya dibenarkan dalam keadaan yang mewajarkannya," kata beliau.

Peguam Ravee G Uthirapathy, yang mewakili Rayyan, memaklumkan pemberita bahawa mahkamah membuat keputusan itu hari ini dan ia telah dihantar kepada kedua-dua pihak menerusi e-mel.

Beliau berkata mahkamah juga telah menetapkan 8 Feb depan untuk pengurusan kes secara dalam talian menerusi sistem e-review.

Dalam penyataan tuntutan, Rayyan mendakwa pada awal 2016, Saidi, 62, telah melantik beliau sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid dan sebagai balasan, defendan berjanji untuk membayar yuran sebanyak RM10 juta apabila projek berjaya diperoleh.

Beliau mendakwa pada 10 Dis 2016, defendan telah berjaya memperoleh projek itu dengan nilai kasar sebanyak RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hasil usaha dan kerja-kerja yang dilakukan plaintif.

Pada 10 Ogos 2017, defendan telah membayar RM1 juta kepadanya dan sehingga kini, baki bayaran sebanyak RM9 juta masih tertunggak dan belum dilunaskan oleh defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut baki bayaran RM9 juta serta ganti rugi RM20 juta akibat kehilangan peluang pelaburan, ganti rugi am, faedah dan kos.

Saidi, dalam penyataan pembelaan difailkan 6 April tahun lepas, menafikan bahawa beliau pernah melantik plaintif sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid itu selain mendakwa perjanjian untuk projek itu dimeterai antara Jepak Holdings dengan KPM, dan bukan atas kapasiti persendirian defendan.

Saidi juga memfailkan tuntutan balas terhadap Rayyan agar ahli perniagaan itu memulangkan wang RM1 juta yang dibayar kepadanya dengan serta-merta.

Rayyan dan Saidi merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta serta dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid itu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.