Malaysiakini
BERITA

UEM Sunrise, EcoWorld tak teruskan cadangan untuk bergabung

Diterbitkan

Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan penggabungan dengan syarikat berkaitan Khazanah, UEM Sunrise Bhd.

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi EcoWorld Liew Kee Sin berkata, keputusan itu susulan perbincangan dengan UEM Sunrise bulan ini dan penilaian terperinci oleh lembaga pengarah EcoWorld.

"Susulan bermulanya perbincangan dengan UEM Sunrise pada Januari 2021 dan selepas penilaian terperinci oleh lembaga pengarah terhadap cadangan itu, beserta pelan perniagaan EcoWorld Malaysia dan keadaan semasa yang mencabar dengan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan, kami memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan gabungan dengan UEM Sunrise.

Penamatan perbincangan mengenai cadangan ini membolehkan EcoWorld meneruskan cadangan korporat lain yang mungkin lebih melengkapi strategi dan pelan pertumbuhan kami pada masa ini," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Katanya lagi, ia juga membolehkan pihaknya memberi tumpuan kepada pelan perniagaan syarikat bagi tahun kewangan 2021, antaranya sasaran jualan RM2.875 bilion yang merupakan 25 peratus lebih tinggi daripada jualan bernilai RM2.3 bilion yang dicatat dalam tahun kewangan 2020.

"Tentunya kami kekal terbuka terhadap kemungkinan kerjasama dengan UEM Sunrise di masa depan," katanya lagi.

Sebanyak 66.1 peratus pegangan dalam UEM Sunrise dimiliki UEM Group Bhd, syarikat milik penuh Khazanah Nasional.

Pada 5 Oktober lalu, UEM Group Bhd mencadangkan penggabungan UEM Sunrise dengan EcoWorld dengan tujuan mengumpulkan sumber dan kemampuan kedua-dua syarikat bagi mengukuhkan pencapaian dan kemapanan jangka panjang.

Menerusi penggabungan itu, EcoWorld akan mejadi subsidiari milik penuh UEM Sunrise dengan sahamnya tidak lagi disenarai dalam Bursa, menerusi pertukaran saham dan waran kepada saham baru dan waran baru dalam UEM Sunrise.

Penggabungan itu dilaporkan akan mewujudkan salah satu pemaju hartanah terbesar di Malaysia, dengan unjuran nilai pembangunan kasar RM173.2 bilion dengan bank tanah seluas 6,880 hektar.

Susulan kontroversi sekitar cadangan itu, pengarah urusan dan CEO UEM Sunrise Anwar Syahrin Abdul Majid dan ahli lembaga pengarah Subimal Sen Gupta Sen dilaporkan telah letak jawatan, beberapa hari sebelum pengumuman pada 5 Oktober.

Suruhanjaya Sekuriti memberi tempoh masa sehingga 31 Januari kepada kedua-dua pihak sama ada untuk meneruskan perbincangan penggabungan atau tidak.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.