Malaysiakini
BERITA

Jawatankuasa darurat: Pembangkang mahu lihat perincian dulu

Ng Xiang Yi & Fion Yap

Diterbitkan

Parti pembangkang mahu mendapatkan perincian mengenai penubuhan jawatankuasa bebas berkenaan penamatan darurat.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP,  Anthony Loke berkata partinya tidak dapat memberikan komitmen untuk menyertai jawatankuasa itu tanpa terlebih dahulu mengetahui perincian dan bidang kuasa jawatankuasa berkenaan.

“Kami perlu dapatkan perincian terlebih dahulu, termasuklah tujuan dan bidang kuasa jawatankuasa itu.

“Tanpa perincian, kami tak dapat beri komitmen kami (untuk menyertai jawatankuasa),” kata ahli parlimen Seremban itu kepada Malaysiakini.

Naib presiden PKR Chang Lih Kang juga sependapat dengan Anthony, namun dia percaya penubuhan jawatankuasa itu tidak perlu memandangkan kabinet dan pentadbiran kerajaan berfungsi seperti biasa.

Katanya keadaan ini tidak sama seperti darurat yang pernah dilaksanakan dahulu apabila Majlis Keselamatan Negara mengambil alih pentadbiran negara.

“Memandangkan pentadbiran dan kabinet beroperasi macam biasa, jadi apa fungsi jawatankuasa ini?

“Kalau hanya memainkan peranan penasihat, saya rasa tak perlulah

“Mungkin (penyertaan pembangkang) hanya untuk tujuan kosmetik sahaja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan semalam dilapor telah menghantar surat kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim bagi meminta tiga calon daripada pembangkang untuk menubuhkan jawatankuasa bebas yang akan mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya pelaksanaan darurat ini ditamatkan lebih awal.

Ini selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksanakan bagi  membendung wabak Covid-19 sehingga 1 Ogos atau suatu tarikh lebih awal jika angka kes positif harian dapat dikawal.

Dalam satu kenyataan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin: "Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai oleh ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

"Jawatankuasa bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal," kata kenyataan itu.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Nasution mengesahkan menerima surat tersebut bagi pihak Anwar, dan ada bertanya kepada Takiyuddin berhubung terma rujukan dan komposisi jawatankuasa bebas tersebut.

Katanya, Takiyuddin berjanji memberikan maklum balas dalam masa terdekat.

Naib presiden Amanah, Hasanuddin Yunus pula bersikap lebih terbuka terhadap idea berkenaan, meskipun tidak bersetuju dengan pengisytiharan darurat itu.

“Kita tetap tidak setuju dengan darurat, tetapi sebarang jawankuasa yang boleh menguntungkan negara biasanya kita akan libatkan diri,” kata ahli parlimen Hulu Langat itu kepada Malaysiakini.

‘Parlimen platform terbaik untuk perbincangan dwiparti’

Sementara itu, meskipun parlimen digantung, timbalan presiden Warisan Darell Leiking berpendapat kerajaan sepatutnya mengadakan satu sidang khas bagi membincangkan mengenai proklamasi darurat.

“(Amalan) dwipartisan terbaik adalah menerusi parlimen. Soal jawantakuasa dwipartisan tak sepatutnya timbul pun jika perdana menteri (pun) enggan memanggil (satu sidang) parlimen (khas),” tegas ahli parlimen Penampang itu.

Dia menggesa kerajaan menjelaskan kepada rakyat dan wakil rakyat tentang alasan pengisytiharan darurat dan membenarkan usul itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Bentangkan (alasan) kepada ahli parlimen supaya semua orang boleh menyumbangkan pendapat dan maklum balas daripada kawasan masing-masing.

“Dari situ, kita boleh tentukan langkah seterusnya,” katanya yang berkata Warisan tidak akan memberikan jawapan untuk menyertai jawatnakuasa itu sehinggalah Dewan Rakyat bersidang.

Dia turut mengingatkan Muhyiddin bahawa pembangkang tidak akan mendesak PRU diadakan dalam musim wabak ini, seperti yang dilakukan sekutu di dalam PN.

“Yang desak untuk pilihan raya ini kawan-kawan dia (Muhyiddin) - Umno, komponen PN,” katanya.

Sementara itu, timbalan presiden protem Pejuang Marzuki Yahya berkata partinya hanya akan berbincang mengenai soal itu setelah menerima jemputan daripada kerajaan.

“Kami belum dimaklumkan, jadi saya rasa kami tak bincang.

“Kami ini tak sokong pun darurat (dilaksanakan), jadi apa sebab kami nak berada di dalamnya (jawatankuasa itu)?” soal bekas setiausaha agung Bersatu itu lagi. 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.